PENGGUNAAN ruang balkoni secara maksimum.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


BAGI fasad bangunan kediaman, balkoni antara ruang luaran yang penting kerana ia memberi nilai tambah sesebuah unit kediaman terutama di kawasan bandar atau lokasi yang menyajikan pemandangan indah.

Jadi, tidak mustahil harga unit kediaman bersama balkoni dengan pemandangan yang menarik jauh lebih mahal berbanding pemandangan menghadap bangunan.

Balkoni adalah elemen penting bangunan bertingkat terutama kediaman.

Ia bukan saja menjadi ruang tambahan sebaliknya berfungsi sebagai sistem pengaliran udara yang efektif, sekali gus mengurangkan haba dalam rumah.

Dalam menyerlahkan nilai estetikanya, pemilik perlu mencari idea bijak dan perlu bersesuaian dengan cita rasa peribadi bagi memanfaatkan ruang balkoni.

Balkoni bersaiz kecil atau besar bukanlah ukuran utama kerana paling penting, kita perlu menyesuaikan idea dengan ruang balkoni sedia ada supaya memberi keselesaan peribadi.

Namun segelintir rakyat tempatan hanya menjadikan balkoni sekadar tempat untuk menyidai pakaian.

Mungkin perkongsian idea dekorasi balkoni yang dipetik menerusi carian Internet ini dapat memberi inspirasi kepada anda memperindahkan lagi ruang ini.

1. Taman sayur

Taman sayur di balkoni antara trend popular hari ini apabila ia menawarkan tumbuhan boleh dimakan seperti sayuran kelihatan menarik sebagai tarikan landskap.

Disarankan anda menanam sayuran hijau yang membuatkan pandangan mata lebih tenang, malah ia turut membekalkan oksigen di rumah.

Paling utama, pelaksanaan ini turut mampu mengurangkan perbelanjaan isi rumah apabila anda boleh menggunakannya dalam penyajian makanan dan keselamatan juga terjamin.

Jangan hadkan idea dekorasi taman sayur tipikal yang hanya ditempatkan di bahagian lantai. Anda mungkin boleh menjadikan sayuran atau tanaman herba ini hiasan landskap pada dinding mengikut kesesuaian dan saiznya.

2. Bunga segar

Warna-warni bungaan pasti berjaya menghasilkan landskap balkoni yang sangat menarik. Anda boleh memilih jenis bunga yang mudah berbunga, menghasilkan haruman dan pelbagai spesies bagi mencipta kelainan serta kombinasi ton lebih unik.

Sentuhan tata hias juga perlu dipelbagaikan sama ada di atas lantai, bergantungan mahupun hiasan dinding.

3. Ruang santai

Rumah adalah ruang selamat dan beristirahat, jadi sebaiknya kita memanfaatkan ruang balkoni sebagai tempat untuk menenangkan fikiran.

Anda boleh mendapatkan idea dekorasi balkoni menerusi carian di Internet, drama, majalah, atau berkunjung ke kafe hipster.

Menghirup udara sejuk bersama secangkir kopi pada sebelah malam pastinya memberi ketenangan selepas penat melaksanakan rutin harian.

4. Pilihan perabot mengikut cita rasa

Bagi ruang balkoni bersaiz kecil, sepasang kerusi bersama meja kopi sudah memadai. Anda juga boleh memilih bangku atau meja jenis yang siap dibina (tetap) menggunakan material kayu yang pastinya menyerlahkan lagi ruang balkoni.

Balkoni jenis terbuka disarankan anda memilih perabot yang tahan lasak seperti tidak mudah pudar dan tahan kelembapan kerana perubahan cuaca di Malaysia tidak menentu.

Manakala balkoni jenis tertutup (selalunya berkaca) menjadi kelebihan kerana ia boleh disesuaikan dengan pelbagai jenis perabot termasuk diperbuat daripada fabrik seperti bantal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2019 @ 9:11 AM