MEMPUNYAI bentuk seperti silinder gelas masa menjadikannya sebagai tarikan yang unik.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


TERLETAK di tengah-tengah Hutan Gisselfeld Klosters, Denmark yang begitu terkenal dengan pelbagai aktiviti riadah, menjadikan ia sebagai mercu tanda dan tarikan terbaharu di kawasan itu.

Mula dibuka pada Mac lalu, Menara Camp Adventure mendapat sambutan yang menggalakkan apabila 2,500 pengunjung melawatnya pada hari pertama dilancarkan kepada umum.

Keunikan seni berkonsepkan alam semula jadi hasil sentuhan Studio Arekitek Danish EFFEKT memberi peluang kepada pengunjung yang datang ke hutan berkenaan untuk menikmati pemandangan 360 darjah sambil beriadah.

Mengambil ilham daripada reka bentuk gelas masa, Menara Camp Adventure mempunyai ketinggian 45 meter dari aras laut dengan 900 meter laluan pejalan kaki berpusing sehingga sampai ke aras paling atas.


PENGUNJUNG dapat melihat unsur lingkaran yang menarik dari bawah menara tinjau berkenaan.

Kumpulan arkitek itu juga bijak menjadikan menara tinjau berkenaan sebagai lokasi aktiviti yang boleh diakses semua golongan termasuk berkerusi roda kerana laluan untuk sampai ke atas tidak menggunakan sebarang tangga.

Laluan berpusing sehingga ke atas memberi peluang kepada pengunjung untuk menikmati panorama di Hutan Gisselfeld Klosters yang kaya dengan landskap alam semula jadi menarik seperti pemandangan bukit dan tasik.

Salah seorang pengasas EFFEKT yang berpangkalan di Copenhagen, Tue Foged berkata, pembinaan menara itu bagi memberi peluang kepada pengunjung menikmati seni bina yang menawarkan pengalaman menikmati alam semula jadi sebenar.

“Menggunakan konsep laluan kayu berpusing menjadikan menara ini memberi peluang kepada semua pengunjung tanpa mengira kemampuan fizikal mereka untuk menakluki hingga ke atas yang menawarkan pemandangan lebih luas.


PEMANDANGAN dari atas Menara Camp Adventure dikelilingi kehijauan.

“Selain itu, pembinaan bentuk menara yang berinspirasikan gelas masa berbentuk silinder luas di bahagian atas dan bawah, manakala ramping di tengah-tengahnya menjadikan Menara Camp Aventure satu seni bina yang unik,” katanya.

Memandangkan menara tinjau itu digunakan sebagai salah satu tarikan alam semula jadi di hutan berkenaan, warna coklat yang menjadi ton utamanya sememangnya harmoni dengan pertukaran musim.

Menara unik itu juga berjaya merangkul Anugerah Visionary Architecture dalam ICONIC Award 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2019 @ 5:30 AM