BANGUNAN unik itu juga terdiri daripada 16 tingkat yang dihubungkan 154 anak tangga bergerak.
VESSEL tidak ubah seperti sebuah pasu berongga yang menawarkan pemandangan 360 darjah kepada pengunjung.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


KALA mengunjungi bandar raya New York, Amerika Syarikat, mata sibuk memerhatikan pelbagai bangunan moden terutama di kawasan paling mahal di bandar itu, Manhattan.

Hakikatnya, New York begitu terkenal sebagai bandar raya global yang sibuk dan setiap bangunan diwujudkan mempunyai ciri keperluan dari segi fungsi dan dalam masa sama mampu menawarkan keunikan.

Terbaru, terletak di Midtown Manhattan, bangunan unik yang dikenali sebagai Vessel menjadi kegilaan ramai pengunjung untuk melihat keunikan reka bentuknya yang boleh dikatakan antara mercu tanda projek pembangunan semula Hudson Yards.

Bagi penulis yang berkesempatan mengunjunginya melihat Vessel tidak ubah seperti sebuah pasu berongga yang menawarkan pemandangan 360 darjah kepada pengunjung untuk menikmati pemandangan yang berbeza di kawasan projek campuran Hudson Yards.

Diilhamkan pereka British, Thomas Heatherwick, ia sebenarnya mengambil idea daripada reka bentuk sarang lebah. Bangunan unik itu juga terdiri daripada 16 tingkat yang dihubungkan 154 anak tangga bergerak dan terdapat 80 laluan atau platform boleh digunakan pengunjung untuk menuju ke setiap tingkat.

Selain itu, Vessel adalah salah satu mercu setinggi 46 meter yang terdapat di Hudson Yards Public Square berkeluasan dua hektar dengan kos keseluruhan dikatakan mencecah RM833 juta (USD200 juta).

Vessel yang mula dibangunkan pada April 2017 sudah dibuka kepada orang ramai untuk mengunjunginya pada 15 Mac lalu bagi merasai pengalaman berada di dalam bangunan unik itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Hudszon Yards, Stephen Ross berkata, reka bentuk bangunan itu bertujuan menonjolkan kewujudan sebatang pokok krismas yang didirikan selama 12 bulan di tengah bandar.

Beliau menambah, laluan tembaga untuk ke setiap tingkat dibangunkan seperti sebuah gimnasium yang mampu menampung 1,000 pengunjung berada di atasnya pada satu-satu masa.

“Mereka yang berada di sini berpeluang menerokai laluan unik pada struktur bangunan ini dan di atas sekali pengunjung dapat menikmati pemandangan Sungai Hudson,” katanya.

Sementara itu, dalam satu temu bual bersama Designboom, Heatherwick berkata, pada awal pengumpulan idea untuk mewujudkan bangunan ikonik itu, dia mahukan bangunan yang boleh dijadikan lokasi untuk keamatan, bersosial dan merasai sendiri pengalaman berada di Hudson Yards.

“Bagaimanapun, saya tidak mahu menjadikan ia sebagai objek yang pasif apabila pengunjung datang ke sini untuk menatap, mengambil gambar dan kemudian mereka berlalu, tetapi sesuatu yang boleh menyatukan hubungan manusia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 5:00 AM