Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


MEMASUKI minggu kedua menunaikan ibadat puasa Ramadan, pastinya masing-masing sibuk membuat persiapan menyambut kedatangan Aidilfitri sama ada dari segi juadah hidangan, pakaian mahupun proses membersihkan kediaman.

Antara perkara penting yang perlu dipertimbangkan pemilik kediaman adalah langkah keselamatan sebelum pulang ke kampung masing-masing.

Ini turut merangkumi pengendalian dan penjagaan tanaman dalam pasu bagi memastikan ia kekal hidup segar sepanjang ketiadaan anda di rumah kelak yang turut menuntut kreativiti.

Faktor cuaca panas dengan suhu mampu mencecah 40 darjah Celsius turut menyumbang kepada amalan menitikberatkan penjagaan tanaman terutama dalam pasu.

Menurut Penolong Pengarah, Bahagian Pembangunan Industri Tanaman, Kompleks Pertanian Serdang, Muhamad Adli Salihin Samsudin, musim panas yang melanda negara hari ini bukan saja memberi kesan kepada manusia bahkan tanaman dalam pasu ataupun beg semaian.


KEKALKAN keceriaan pokok bunga berpasu.

“Berbeza dengan tanaman atau pokok yang ditanam berskala besar seperti di ladang atau kebun, tumbuhan di rumah yang ditanam di dalam pasu mengalami sedikit masalah ketika cuaca panas.

“Pergerakan akar tanaman dalam pasu atau beg semaian agak terhad boleh menjejaskan tumbesaran dan kesegaran pokok.

“Jadi, saya tidak menafikan dalam situasi hari ini (panas), berlaku peningkatan kos penjagaan pokok terutama membabitkan proses penyiraman.

“Selalunya kekerapan penyiraman hanya dua kali sehari, sama ada pagi atau petang. Namun, dalam keadaan panas kita perlu menyiram lebih kerap, sekurang-kurangnya tiga kali dengan kuantiti air yang banyak. Hal ini perlu dilakukan bagi memastikan pokok bunga dalam pasu mendapat bekalan air secukupnya.

“Antara pokok bunga dalam pasu yang menjadi kebiasaan ditanam di rumah adalah bunga kemboja, bunga raya, bunga kertas, melati, jasmin dan tanaman herba termasuk kunyit, kesum serta pudina,” katanya.


TEKNIK pengairan sendiri dicadang antara kaedah pastikan tanaman dalam pasu dapat sumber air mencukupi sepanjang ketiadaan tuan rumah. FOTO: Rosela Ismail

Penjagaan tanaman dalam pasu bukan sekadar dititikberatkan ketika cuaca panas bahkan ketika pemilik pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri atau mereka yang melancong dalam tempoh agak panjang.

Bagi memastikan ketahanan dan kesegaran pokok bunga dalam pasu, Muhamad Adli Salihin berkata, faktor penjagaan paling utama adalah penggunaan media tanah campuran bersesuaian.

“Nisbah terbaik bagi tanah campuran adalah 3:2:1 yang merujuk kepada penggunaan tanah atas diikuti bahan organik seperti baja dan akhir sekali, pasir, yang mampu mendorong proses tumbesaran pokok.

“Tanah atas ini boleh didapati di kedai dan selalunya ia menggunakan tanah jenis siri serdang dan siri bungor. Inovasi hari ini, pemilik tanaman boleh mendapatkan pelbagai jenis media tanah campuran yang diproses.

“Tanah campuran ini mempunyai struktur dan rongga yang baik dapat membantu proses pergerakan akar. Perlu diingatkan pokok bunga atau apa juga tanaman yang kuat bergantung kepada kesihatan akar.

“Kedua, jadual penyiraman berkala menggunakan medium bersesuaian. Sebatang pokok sebenarnya memerlukan sekurang-kurangnya tiga hingga lima liter air bagi satu proses siraman.

“Pokok bunga kertas umpamanya memerlukan satu hingga dua liter air, bunga raya dan pokok puding (dua hingga tiga liter), tanaman herba seperti tembaga suasa, kesom dan kunyit (tiga hingga lima liter).

“Sumber air mencukupi penting untuk memastikan pokok terus hidup dan masalah penyiraman timbul apabila musim perayaan atau bercuti yang memaksa kita meninggalkan rumah.

“Tip yang saya boleh sarankan adalah teknik pengairan sendiri menggunakan kreativiti berasaskan barangan kitar semula seperti botol minuman, tali mop, kayu dan paku.

“Teknik pengairan sendiri ini adalah idea paling baik bagi memastikan tanaman dalam pasu mendapat sumber air mencukupi sepanjang ketiadaan anda di rumah.


PROSES sungkupan bantu mengekalkan kelembapan tanah.

“Air yang diisi di dalam botol mineral akan menitis melalui tali mop atau sumbu berkenaan secara konsisten. Selalunya, kandungan botol air mineral 1.5 liter akan bertahan selama tiga hingga lima hari.

“Tanaman dalam pasu perlu ‘disuap,’ jadi teknik ini sangat membantu mereka yang menghargai pokok yang ditanam.

“Selain itu, kaedah memanfaatkan barangan kitar semula juga dapat menjimatkan kos penjagaan tanaman dan kita juga dapat memelihara kelestarian bumi,” jelasnya.

Berkongsi panduan ketiga, Muhamad Adli Salihin berkata, proses sungkupan yang menggunakan sabut kelapa, habuk papan dan daun kering berupaya mengekalkan kelembapan tanah dan menghalang pertumbuhan rumpai.

Mengelakkan penggunaan sungkupan sintetik, beliau menjelaskan sungkupan semula jadi akan mengalami proses penguraian seterusnya menjadi bahan makanan buat tanaman dalam pasu.

Tegas Muhamad Adli Salihin, pemilik tanaman kadang-kala terlupa bahawa sungkupan bukan berfungsi mengawal kelembapan bahkan ia adalah makanan semula jadi kepada pokok.

Selain itu, sebelum meninggalkan rumah, pemilik tanaman perlu membuang daun kering dan dahan yang rapuh atau patah kerana ia akan memberi gangguan terhadap proses penyerapan air oleh akar.

Mengulas mengenai tanaman dalam rumah, beliau turut menjelaskan ia perlu diletakkan di kawasan teduh di luar rumah sepanjang ketiadaan pemilik.

Meskipun ia adalah tanaman dalam rumah, pokok seperti Dracaena fragrans, buluh palma dan Ficus lyrata masih memerlukan cahaya matahari serta oksigen di luar.


MANFAATKAN barangan kitar semula.

Menekankan aspek rekod pembajaan juga penting bagi memastikan tanaman memperoleh zat nutrien diperlukan, Muhamad Adli Salihin mengakui cara ini turut membantu pemilik mengetahui tempoh proses pembajaan seterusnya dengan lebih tepat.

Nasihat beliau sempena kedatangan Aidilfitri, pemilik tanaman perlu melakukan kaedah penjagaan secara konsisten, sistematik dan berkesan bagi mengekalkan keceriaan tanaman meskipun mereka tiada di rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2019 @ 5:30 AM