SOFA kulit mudah dijaga.

SELESA dan cantik, dua kriteria pemilihan sofa kulit bagi memenuhi cita rasa, keperluan ahli rumah serta meraikan kunjungan tetamu.

Sofa yang diperbuat daripada kulit asli kelihatan eksklusif serta tahan lama namun penting dititikberatkan penjagaannya supaya ia kekal berseri di ruang tamu kediaman peribadi.

Pengabaian penjagaan sofa kulit bakal mencetuskan masalah seperti permukaan warna kulit pudar, kualiti permukaan kulit bertukar keras dan tidak selesa, kulit mudah retak atau merekah.

Perabot mewah ini mudah dijaga jika dibandingkan dengan jenis sofa lain termasuk fabrik.

Seperti jenis sofa lain, sofa kulit juga sensitif dengan sinaran cahaya matahari secara langsung kerana ia menyebabkan warna pudar.

Warna sofa kulit semakin pudar adalah petanda awal menunjukkan sofa berkenaan mengalami kerosakan. Oleh itu, disarankan posisi sofa seharusnya tidak terlalu dekat dengan pancaran mentari seperti tingkap.

Seri sofa kulit lebih menyerlah sekiranya ia kelihatan berkilat, jadi ramai menggunakan cecair pembersih bagi memastikan kualiti kulit sentiasa unggul.


GUNA produk pelembap kulit untuk melembutkan permukaan sofa.

Penggunaan pembersih kulit berasaskan kimia boleh menjejaskan kualiti kulit, jadi anda perlu menggunakan produk penjagaan berasaskan minyak mineral asli yang senang didapati di kedai 'do it yourself'.

Selain itu, sofa kulit juga perlu dibersihkan secara berkala sekurang-kurangnya sebulan sekali kerana proses ini menjadikannya lebih tahan lama dan menarik.

Teknik paling mudah dan menjimatkan masa adalah mengelap sofa menggunakan kain lembap sudah cukup menghilangkan habuk dan kotoran lain.

Dihasilkan daripada kulit haiwan, lama-kelamaan permukaan kulit menjadi kering dan keras.

Jadi, sofa kulit ini perlu dirawat setiap enam bulan dengan kaedah mengelap sofa menggunakan kain lembap yang direndam air suam bersama pembersih kulit organik.

Selepas proses itu, pemilik perlu menggunakan produk pelembap kulit bagi membantu melembutkannya semula.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 5:30 AM