DEKORASI kediaman Keluarga Seeds, Taman Alam Shah, Klang. FOTO: Rohanis Shukri.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


DARI jauh, kontena terpakai yang diubah suai menjadi pejabat ini sememangnya mempunyai tarikan tersendiri ditambah dengan landskap malar hijau di sekelilingnya.

Pemiliknya, Abdul Razak Abdul Aziz dan isteri, Intan Jailani mesra menyambut kunjungan penulis serta jurugambar ke pejabatnya di Klang, Selangor itu.

Berada di ruang pejabat dua tingkat Seeds Malaysia ini bagaikan membawa pengalaman seni bina dan dekorasi berbeza biarpun ia terbina daripada kontena terpakai. Diamati secara terperinci, jelas ia sebuah bangunan unik berkonsepkan lestari.

Lebih tertarik apabila mengetahui bangunan itu turut memiliki tandas eko. Tandas eko atau mesra alam kebanyakannya ditemui di luar negara berdasarkan pengamatan peribadi penulis yang gemar menonton dokumentari vila dalam hutan atau pulau.


PERABOT diguna semula.

Menurut Razak, istimewanya tandas eko hasil inovasi rakyat tempatan, Zuraina Zaharin terletak pada konsepnya yang mengambil kira penjimatan air dan konsep lebih mesra iaitu tiada tangki antiseptik diperlukan.

Sebaliknya menggunakan enzim tertentu, najis berubah menjadi debu selepas 48 jam selain tidak meninggalkan bau yang kurang selesa.

“Menempatkan dua set tandas kompos atau eko, saya jimat RM10,000 iaitu hanya menggunakan RM5,000 untuk sistem ini berbanding sistem konvensional yang memerlukan pembinaan tangki antiseptik dan sebagainya.

“Pada saya, sistem ini kedengaran remeh iaitu perlu penggunaan enzim tertentu dalam tandas tetapi manfaatnya cukup besar apabila bukan saja untuk kebaikan pemilik apabila pilihan ini lebih ekonomi serta mesra alam sekitar.

“Tandas ini hanyalah salah satu daripada 12 elemen lestari yang saya dan isteri terapkan ketika pembinaan pejabat ini. Dulunya ruang pejabat kami ialah rumah dua tingkat di Subang Jaya.

“Apabila saya dan isteri dipertanggungjawab menguruskan tanah pusaka orang tua, kami berpindah ke sini,” katanya.

Idea keseluruhan kalau diterangkan dalam aspek seni bina, rekaan dalaman pejabatnya itu memenuhi konsep ‘retrofit’ yang kebanyakan barang terpakai diberi hayat baharu sebagai dekorasi baik perabot atau perincian struktur bangunan.

“Saya menggunakan kontena terpakai sebagai struktur utama selain elemen lain iaitu hiasan dalaman termasuk kerusi dan meja daripada material terpakai.

“Semua ini membantu kami meminimumkan kos pembinaan dengan memaksimumkan penggunaan material sedia ada. Jadi bayangkan untuk keseluruhan bangunan saya jimat hampir separuh daripada kos sebenar yang sepatutnya dibelanjakan untuk pembinaan pejabat ini,” katanya.

Lebih penting, sebalik cabaran dalam penggunaan satu material seperti kontena dan besi sebagai struktur utama, kata Razak, alam semula jadi tidak pernah menghampakan sebagai penyelesaian dalam sesuatu isu.

“Ramai akan kata penggunaan kontena akan menyebabkan kami menggunakan pendingin hawa yang jauh lebih tidak mesra alam dan sebagainya. Sedangkan kami ada kaedah tertentu daripada 12 elemen lestari diterapkan membantu kepada ruang kerja cekap, selesa dan masih menepati konsep lestari.

“Sistem pengudaraan kami juga mesra alam apabila lantai struktur besi berongga membenarkan pengaliran udara sempurna selain balkoni terbuka di ruang depan dan sisi.

“Sisi bangunan ini juga dilitupi pokok menjalar yang berfungsi sebagai teduhan daripada pancaran cahaya matahari secara langsung. Paling penting seawal dibina, kami turut mengambil kira kedudukan bangunan itu sendiri apabila membuat penilaian bersandarkan kedudukan matahari terbit dan terbenam.


BARANG lama dipakai semula sebagai hiasan dalaman.

“Sebenarnya teknologi ini sudah dikuasai tukang rumah terdahulu yang memperkenalkan kaedah tapak tangan bagi mengukur kedudukan rumah sesuai. Mereka lihat di mana bayang jatuh termasuk mengambil kira arah kiblat. Prinsip yang sama digunakan untuk pejabat ini memastikan ia tidak terlalu panas.

“Tidak lupa elektronik atau perkakas digunakan juga jimat tenaga termasuk sistem pemanas air mahupun pendingin hawa,” katanya.

Kata Razak, ketika ini beliau sedang menimbang untuk menggunakan panel solar lebih luas bagi melancarkan sistem penyiraman tanaman sekitar pejabatnya.

Meskipun tidak mempunyai pendidikan formal dalam seni bina, beliau tidak sukar memahami konsep bangunan lestari apabila mempunyai rujukan iaitu saudaranya sendiri, Zainal Fitri Abdul Aziz yang juga seorang arkitek eko.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 6:00 AM