SENTUHAN kerusi gaya moden. FOTO: Patrick Diokno
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


SEPERTI berada dalam hutan tropika! Mungkin itu pengalaman dirasai pengunjung kafe Glasshouse Harlan + Holden di Manila, Filipina apabila terdapat pokok sebenar di antara ruang makan mereka.

Melengkapkan lagi dekorasi kafe yang direka studio GamFratesi dari Denmark itu, konsep rumah kaca diketengahkan dengan pilihan warna latar hijau pudina pada hiasan perabot dan langsir.

Sesuai dengan kedudukan kafe berkenaan yang terletak di plot taman seluas 130 meter persegi

di hadapan salah satu pusat membeli-belah paling terkenal di Manila.


IDEA struktur tiada sempadan menerusi rumah kaca.

Menurut wakil studio berkenaan, pemilihan konsep rumah kaca sebagai rekaan kafe terbabit memberi impak mengenai idea melangkaui sempadan.

“Ideanya ialah menggabungkan ruang dalaman kafe ini dengan suasana luar yang sudah sedia memiliki landskap seperti alam tropika. Ini ‘memecahkan’ sempadan antara dalaman dan luaran,” katanya.


SOFA rotan memberi rupa eksotik dan moden.

Bangunan menampilkan struktur seperti tingkap panel bertingkat dua itu cukup sederhana dalam pemilihan perincian perabot dilihat selaras dengan tema rumah kaca moden.

Perekanya memilih perabot rotan iaitu kerusi Morris Bentwood dan sofa Targa yang kedua-duanya direka untuk Gebruder Thonet Vienna pada 2015 bagi melengkapkan lagi keseluruhan rupa rekaan kafe terbabit.


SOFA turut menggunakan warna hijau pudina.

Tampak bersatu dengan konsep di ruang luar dengan pemilihan jubin putih sementara perincian lain seperti batu marmar dan terazo pula dipilih untuk slot bar membuatkan elemen lestari kafe terbabit jelas kelihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 5:00 AM