KETAHUI model bisnes pemilik hospital.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


INDUSTRI seni bina dan reka bentuk dalaman kini semakin berkembang hingga terciptanya inovasi baharu bagi memastikan suasana hospital menonjolkan kelainan, menarik dan pada masa yang sama tidak mengubah fungsi asalnya.

Di Malaysia, ketika ini terdapat banyak hospital swasta khasnya sudah mengubah reka bentuk dalaman yang lebih menarik dan kadangkala tidak terfikir kita berada di sebuah pusat rawatan.

Berkongsi mengenai perkara ini, Pengarah Urusan Ideation Sdn Bhd (Ideation), Zafri Zakaria Merican berkata, secara dasarnya untuk rekaan dalaman, mereka tidak boleh mengubah fungsi sebenar sebuah premis terutama pusat perubatan atau hospital.

Perkara itu perlu diambil tahu kerana hospital adalah premis yang berada di bawah pemantauan pihak berkuasa bagi memastikan setiap ruang atau olahan di dalamnya menepati fungsinya dan tidak memberi kesan buruk terutama kepada pesakit.

BILIK pesakit perlu mempunyai daya tarikan dan selesa untuk dihuni.

“Di negara ini, setiap hospital swasta yang dibangunkan perlu mendapat kelulusan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS), Kementerian Kesihatan yang sentiasa memantau pelbagai elemen rekaan dan binaan yang dibangunkan pemilik.

“CKAPS juga meletakkan garis panduan tertentu dari segi ruang dan ergonomik, penggunaan bahan bina terutama seperti cat, lantai serta dinding.

“Misalnya, permaidani yang digunakan di wad mestilah daripada jenis boleh dibasuh seperti vynil dan permaidani perubatan.

“Selain tidak menggunakan cat mudah berkulat, pengudaraan yang baik dan sistem pencahayaan juga perlu dipatuhi,” katanya yang mempunyai pengalaman mereka bentuk dan menyediakan rumusan hiasan dalaman lapan hospital di Malaysia sejak 2010.

LAKARAN awal Zafri dalam berkongsi idea dan memberi ilham kepada pemilik hospital berkenaan reka bentuk dalaman. -FOTO: Rosdan Wahid

Zafri berkata, kebanyakan hospital yang mementingkan reka bentuk baharu dan menarik adalah untuk memberi keselesaan serta ketenangan pada pesakit.

Secara tidak langsung, ia dapat mempromosikan hospital mereka untuk industri pelancongan perubatan yang sedang membangun dengan pesat di negara ini.

Menurut Zafri, biasanya syarikatnya akan mengeluarkan tiga lakaran idea atau ‘design DNA’ untuk konsep hospital berkenaan. Selepas memilih rekaan terbaik, pihaknya terus memulakan rekaan secara terperinci untuk semua ruang mengikut garis panduan hospital itu sendiri.

Katanya, kadangkala pemilik hospital sudah mempunyai idea dan konsep rekaan dalaman tertentu dan sebagai pereka, pihaknya cuba sedaya upaya merealisasikan impian berkenaan.

“Jika pemilik menginginkan hospital kelihatan seperti hotel, kami akan wujudkan rekaan dalamannya sama seperti premis berkenaan tanpa melanggar peraturan yang ditetapkan,” katanya.

RUANG mesyuarat di bahagian korporat hospital yang kemas dan sesuai dengan fungsinya.

Katanya, menerusi pengalamannya sebagai penyedia rumusan dan hiasan dalaman hospital didapati pemilik hospital di Malaysia gemar mewujudkan persekitaran yang sederhana tetapi berada dalam kelas tersendiri.

“Perkara utama yang perlu diketahui adalah model perniagaan pemilik hospital, adakah mereka ingin menarik perhatian pelanggan premium atau ia sesuai untuk semua kategori pelanggan.

“Biasanya kami akan sarankan untuk menerapkan konsep seperti ‘kurang itu lebih’ yang mengetengahkan ruang dan elemen yang tidak terlalu serabut. Di samping itu, permainan warna dinding yang memberi kesan tenang atau ceria kepada pelanggan di ruang utama seperti tempat menunggu dan mendaftar,” katanya.

Katanya, pemilik hospital juga tahu jika mereka mengidamkan sebuah seni bina dan hiasan dalaman kelihatan terlalu mewah, ia akan memberi persepsi kepada pelanggan hospital itu mahal.

Bagaimanapun, ia boleh juga diadunkan dalam tata hias ringkas seperti di bilik pesakit walaupun terdapat cabaran seperti lampu yang digunakan tidak terlalu malap.

“Seperti kita tahu, lampu malap mampu memberikan kesan nampak mewah. Di hospital kita tidak boleh melakukannya tetapi apa yang boleh diterapkan adalah memberi pandangan pertama yang menarik kepada pesakit,” katanya.

Menurutnya, ketika ini ruangan kanak-kanak antara yang biasa menjadi tumpuan pemilik hospital untuk mengetengahkan sesuatu yang ceria dan menarik kepada pelanggan cilik. Malah ia juga berupaya mempengaruhi keputusan ibu bapa.

“Untuk bahagian ini, kita perlu bijak bermain dengan kreativiti seperti menggunakan warna ceria dan menonjolkan watak ‘adiwira’ yang digemari kanak-kanak.

IDEA reka bentuk yang menarik mampu mengubah persepsi pesakit ke hospital.

“Dari segi penggunaan perabot juga perlu diambil kira dan sesuai untuk diadunkan dengan fungsi ruang termasuk ruang menunggu, tempat kanak-kanak dan kawasan sibuk sebelum ke ruang pembedahan.

“Jika di kawasan menunggu, kita gunakan jenis perabot yang mempunyai fungsi lebih santai dan warna tenang. Di bahagian kanak-kanak perlu lebih ceria dan di kawasan sibuk, jumlah kerusi berada di situ perlu diambil kira,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 5:00 AM