MENGUBAH SUAI lantai, siling dan dinding diutamakan sebelum memasukkan perabot di kediaman baru. -FOTO: Dr Mohd Hafizal
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


FAKTOR kejayaan diri dan semangat untuk hidup berdikari menjadi pendorong kepada kita untuk memiliki rumah sendiri.

Hal ini dapat memberikan privasi kepada diri selain berpeluang mencorak dan menata hias rumah mengikut kehendak peribadi.

Bagaimanapun, ramai dalam kalangan kita kurang pasti untuk memulakan kerja menghias atau menjalankan pengubahsuaian rumah baru.

Menurut Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan Universiti Sains Malaysia, Dr Mohd Hafizal Mohd Isa, terdapat beberapa elemen yang perlu diambil kira untuk pemilik rumah sebelum memulakan kerja menata hias atau pengubahsuaian.


PEMASANGAN jeriji penting sebelum kerja mengubah suai kediaman dilakukan.

Beliau berkata, dalam melakukan pengubahsuaian rumah, elemen keselamatan perlu menjadi keutamaan bermula dengan pemasangan jeriji terlebih dahulu. Pertama, bagi melindungi bahagian dalam rumah yang terbabit dalam kerja mengubah suai.

“Terdapat pelbagai material jeriji antaranya besi biasa, besi tempa, keluli tahan karat dan aluminium. Setiap bahan ini mempunyai daya tahan dan kekuatan yang berbeza.

“Keluli tahan karat antara bahan yang keras dan kuat untuk digunakan selain sifatnya yang licin, tahan karat serta tidak perlu dicat,” katanya.

Katanya, perkara kedua yang boleh didahulukan ialah kerja mengubah suai siling dan lantai kerana ketiadaan perabot memudahkan aktiviti itu dilakukan.

Contohnya, debu daripada siling plaster boleh menyebabkan kegatalan dan radang kulit. Perkara ini perlu diberi lebih perhatian kerana kebanyakan pemilik rumah di Malaysia memilih siling plaster yang menggunakan panel gipsum (kapur) dicantum mengikut reka bentuk diminati.

“Siling jenis ini cepat dan mudah untuk dipasang selain memberi fleksibiliti dalam reka bentuk.

“Bagaimanapun, ia rapuh dan mudah rosak jika terdedah kepada air akibat kebocoran sistem paip dan struktur bumbung,” katanya.

Selepas menyiapkan siling, perkakasan elektrik seperti kipas dan lampu boleh dipasang.

“Untuk kerja pengubahsuaian lantai, gaya terkini mendapati ramai pemilik rumah cenderung memilih jubin lantai yang bersaiz lebih besar dan berkualiti tinggi bagi menggantikan jubin bersaiz kecil,” katanya.


PENSYARAH Kanan Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan Universiti Sains Malaysia, Dr Mohd Hafizal Mohd Isa.

Katanya, terdapat juga pemilik rumah yang suka mengenakan kemasan lantai kayu yang nampak eksklusif. Namun bagi pemasangan lantai jenis itu, pemilik atau kontraktor boleh memasangnya di atas lantai sedia ada tanpa perlu mengumpil jubin lama.

“Pemasangan lantai kayu biasanya tidak akan menghasilkan debu dan tidak mengotorkan ruang ketika pemasangan. Terdapat dua jenis lantai kayu yang sering digunakan iaitu lantai kayu lamina dan vinil sebagai bahan ganti kepada kayu pepejal,” katanya.

Sementara itu, dinding pula adalah permukaan terbesar dalam ruang dalaman selepas siling dan lantai. Kebiasaannya, rumah yang dibeli dicat dengan warna putih.

Katanya, bagi memberi ‘kehidupan’ pada ruang dalaman, dinding dicat dengan warna mengikut cita rasa penghuni rumah.


MEMILIH warna dinding utama yang lebih unik menonjolkan titik fokal.

“Dinding tumpu adalah unik dan berbeza dengan dinding yang lain. Titik fokal akan tertumpu pada dinding ini. Cara yang paling mudah untuk menentukan dinding tumpu adalah apabila anda melangkah masuk ke sesuatu ruang, dinding pertama yang dilihat itu sesuai untuk dijadikan dinding tumpu.

Katanya, perkara lain yang boleh didahulukan dalam aktiviti mengubah suai adalah di bahagian dapur dan antara yang sering menjadi perhatian pemilik kediaman adalah pemilihan jenis kabinet yang sesuai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 4:00 AM