NURUL Ain Sidek. -Foto NSTP
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


REVOLUSI poster dalam industri seni hiasan dalaman berkembang seiring dengan idea dan kreativiti hingga berjaya mewujudkan trend dekorasi dinding yang lebih segar.

Dikenali sebagai alat menyalurkan propaganda, promosi mahupun mesej sejak dulu kala, poster yang mengandungi imej dan teks sebelum ini dihasilkan secara tulisan tangan hingga menggunakan teknologi percetakan digital.

Karya seni bercirikan kombinasi gambar diselit kata mutiara ini selalunya dicetak pada medium kertas berukuran besar supaya maklumat disampaikan lebih mudah ‘mencuri’ pandangan umum.

Dipamerkan di lokasi terbuka merangkumi ruang tamu dan ruang santai bagi kediaman, manakala meja makan di restoran, hiasan dinding ini selalunya dicoret menggunakan rona terang yang menarik.

Selain itu, pemilihan variasi tulisan sama Rumi mahupun Jawi yang unik turut menjadi faktor menyerlahkan lagi poster yang dihasilkan.


PENUHI konsep minimalis bagi satu ruang.

Menurut pereka poster dalam talian Nurul Ain Sidek, konsep minimalis bagi penghasilan satu-satu hiasan dinding menjadi ikutan penggemar tata hiasan dalaman pada masa kini.

“Sepanjang tiga tahun saya berkecimpung dalam bidang ini, konsep minimalis mengungguli carta permintaan pelanggan.

“Trend semasa dan rekaannya tampak moden lebih mudah disuai padan dengan sentuhan dekorasi berteraskan minimalis, Scandinavia, Nordik yang berprinsipkan kesederhanaan.

“Soal pemilihan warna pula, selalunya ia dipilih mengikut karakter dan ‘mood’ individu kerana setiap orang mempunyai rona aura serta kegemaran tersendiri.

“Identiti karya seketulharith.co lebih tertumpu kepada penggunaan warna kombinasi hitam putih dan pastel bersesuaian dengan rekaan ringkas serta minimalis yang kebanyakannya bermotifkan flora,” katanya yang bekerja sepenuh masa di rumah.

Memetik kata al-Farabi, seni adalah ciptaan berbentuk keindahan, kebanyakan poster dihasilkan menjurus kepada konsep mendidik seperti kalimah Allah dan Muhammad, zikir harian, kata inspirasi serta motif floral sebagai penyejuk mata di sesuatu ruang.


MESEJ positif disebarkan.

Mengulas berkenaan skema warna yang dijangka menjadi pilihan tahun ini, wanita berusia 32 tahun ini optimis rona biru, kelabu, biru kehijauan dan merah jambu lembut kerana ia boleh digandingkan bersama warna lain.

Graduan Seni Halus dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara ini turut menyifatkan elemen dan motif alam semula jadi, abstrak serta kata-kata inspirasi akan kekal menjadi tema poster bagi 2019.

Tampil dengan poster yang dicetak menggunakan teknologi digital, Nurul Ain fokus kepada perkhidmatan rekaan poster mengikut selera pelanggan.

Ini bererti mereka boleh memilih warna dan mutiara kata kegemaran masing-masing untuk diterjemahkan kepada poster pelbagai saiz termasuk A4, A3, A2 dan sebagainya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2019 @ 6:30 AM