TAMAN Botani Putrajaya yang terletak di Presint 1.
TEMA Hari Landskap Negara tahun ini ialah Malaysia Negara Taman Terindah yang disambut di Taman Botani Putrajaya.

MALAYSIA kini mengiktiraf kepentingan bidang seni bina landskap dengan menetapkan 3 Mac setiap tahun sebagai Hari Landskap Negara.

Pada tahun ini sambutan Hari Landskap Negara dijadualkan esok bertempat di Taman Botani Putrajaya. Bertemakan Malaysia Negara Taman Terindah ia bersesuaian dengan Dasar Landskap Negara yang bermatlamatkan menjadikan Malaysia Negara Taman Terindah menjelang 2020.

Malah sambutannya dilihat begitu bermakna bagi meletakkan kepentingan landskap dalam persekitaran dan kesejahteraan kehidupan.

Ia sekali gus menjadi titik tolak untuk terus maju ke hadapan dengan perancangan dan pelaksanaan yang jitu bagi memastikan Malaysia bukan saja negara taman terindah semata-mata, bahkan memenuhi kriteria bandar rendah karbon dan mendepani permasalahan perubahan iklim.

Menurut Dekan Fakulti Rekabentuk dan Senibina Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya LAr Dr Osman Mohd Tahir, fakulti berkenaan turut terbabit secara langsung dengan sambutan Hari Landskap Negara kali ini.

“Pada masa sama, dalam rangka menangani isu kelestarian pembangunan pihak kami merangka beberapa program baru untuk ditawarkan pada tahun ini iaitu Program Sarjana Pengurusan Landskap Lestari dan Program Sarjana Reka Bentuk Bandar Tropika,” katanya yang juga mantan presiden dan ‘ex officio’ Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM) itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2019 @ 3:46 PM