PENGGUNAAN banyak hiasan cermin pada ruang makan. FOTO Mohd Saiful Bahrin Mohd Rani
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

MENATAP gambar dekorasi dalam media sosial pemiliknya sudah cukup menjentik rasa untuk meninjau lebih dekat kediaman ini.

Sekali imbas pasti ada yang beranggapan, penataan itu hasil kerja tangan wanita. Hakikatnya ia menzahirkan sentuhan unik sepenuhnya Mohd Saiful Bahrin Mohd Rani, 34.

Cantik, mewah dan kreatif. Tiga perkataan itu hadir dalam pemikiran penulis yang terpegun dengan keindahan dekorasi kediaman kembar dua milik Mohd Saiful Bahrin di Bagan Serai, Perak.


MOHD Saiful Bahrin bersama isteri dan tiga anaknya. FOTO Mohd Saiful Bahrin Mohd Rani

Beliau memilih konsep moden glam sekali gus membuktikan dirinya seorang yang mempunyai cita rasa tersendiri dalam penataan ‘syurganya’ itu.

“Bagi menyerlahkan konsep ini saya menonjolkan elemen penting moden glam seperti membuat hiasan dinding dengan memasang ‘wainscoting’ atau bingkai panel kayu dinding pada segenap ruang termasuk setiap bilik tidur.

“Hiasan dinding ini menjadikan ruang rumah lebih berseri dan menarik berbanding dinding yang polos,” katanya.

Menurutnya, antara elemen paling penting dengan konsep itu adalah perabot termasuk sofa chesterfield iaitu sofa klasik yang dimodenkan mengikut trend masa kini dan diletakkan di bahagian ruang tamu.


CERMIN muka dijadikan meja kopi. FOTO Mohd Saiful Bahrin Mohd Rani

“Sofa ini sangat popular di Eropah pada era ke-18 yang kebanyakan digunakan golongan bangsawan.

“Kehadiran sofa ini memberi impak yang besar terhadap ruang dalaman apabila suasana tampil lebih elegan dan mempunyai nilai tersendiri,” katanya.

Malah Mohd Saiful Bahrin turut menitikberatkan elemen besi warna keemasan pada setiap aksesori dalam rumahnya itu merangkumi rangka meja tepi, meja kopi dan bingkai cermin hiasan.

“Kebanyakan aksesori ini saya hasilkan mengikut kreativiti bagi mencipta kelainan. Begitu juga dengan langsir, apabila warna keemasan dipadankan dengan rona putih sekali gus mampu menaikkan seri rumah ini supaya lebih tampil mewah dan eksklusif,” katanya.


SELAIN ‘wainscoting,’ cermin berbingkai turut menjadi hiasan dinding. FOTO Mohd Saiful Bahrin Mohd Rani

Pada masa sama, beliau memilih gaya yang berbeza untuk setiap bilik dengan pendekatan bilik anak lelaki berkonsepkan industri berlatarkan warna kayu untuk perabot dan biru di bahagian dinding.

“Tema ini (industri) lebih ringkas dan menyerlahkan sisi maskulin anak lelaki,” katanya.

Bilik anak perempuan pula, konsep tata hias minimalis menjadi pilihan Mohd Saiful Bahrin kerana konsep berkenaan menepati trend terkini generasi muda.

“Konsep ini mengurangkan kos dekorasi kerana saya memanfaatkan ruang bawah katil bujang dengan memasang rak untuk menyimpan barangan peribadi anak.


BILIK anak lelaki berkonsepkan industri. FOTO Mohd Saiful Bahrin Mohd Rani

“Menerusi cara ini dapat menjimatkan ruang bilik anak dan permainan ton warna ungu tidak menampakkan bilik ini kecil,” katanya.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, bagi ruangan privasi bersama isteri pula beliau memilih kombinasi warna kelabu dan hijau pudina bagi menaikkan lagi mood ala bilik hotel.

“Begitu juga penataan perabot dalam bilik utama ini saya letakkan meja tepi di bahagian kiri dan kanan di sisi katil berserta hiasan bingkai gambar pada dinding.


BILIK utama dihias ala hotel. FOTO Mohd Saiful Bahrin Mohd Rani

“Dekorasi di bahagian bilik saya agak ringkas tapi peranan hijau pudina ini berunsurkan ketenangan menjadi terapi sebaik pulang dari bekerja,” katanya.

Pencinta penataan ruang itu turut menambah, beliau sangat gemar menukar gaya hiasan mengikut trend semasa. Moden glam adalah konsep ketiganya yang sebelum industri dan minimalis.

Bagaimanapun, katanya, penggunaan lampu chandelier penting bagi konsep moden glam kerana menyerlahkan lagi gaya dekorasi mewah di dalam rumah berkenaan.


GAYA minimalis untuk bilik anak perempuan. FOTO Mohd Saiful Bahrin Mohd Rani

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Februari 2019 @ 12:52 PM