JERIJI mampu melindungi kediaman pemilik.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

MEMILIKI kediaman sendiri menjadi impian setiap orang apatah lagi buat anda yang berkeluarga. Bagi pembeli kediaman kali pertama pastinya teruja membuat pengubahsuaian.

Bagaimanapun, kos untuk tujuan itu mungkin membuatkan segelintir kita berfikir dua kali.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan Universiti Sains Malaysia, Dr Mohd Hafizal Mohd Isa berkata, dalam kerja mengubah suai kediaman baharu, pemilik seharusnya tidak perlu dalam keadaan tergesa-gesa untuk melengkapkan aset itu.

Beliau berkata, perkara utama perlu diambil kira sudah pasti soal keselamatan kerana ia menjadi tunjang dalam memberikan keselesaan dan perlindungan daripada risiko atau kemalangan tidak diinginkan.

“Soal keselamatan kediaman perlu diambil kira selepas pembeli mendapat kunci sama mendiaminya atau bagi tujuan menyewa. Ini kerana kes kecurian atau pecah masuk rumah baru bukan lagi perkara yang asing.

“Jadi di sini, kita perlu mengeluarkan kos untuk mempunyai kelengkapan yang boleh melindungi kediaman iaitu dengan memasang jeriji di tingkap dan pintu terlebih dulu sebelum memutuskan membuat kerja pengubahsuaian di ruang yang lain,” katanya.


Dr Mohd Hafizal.

Katanya, hal itu bukan sahaja dapat melindungi aset yang terdapat di dalam kediaman, malah ia mampu mengelak peralatan pertukangan kontraktor hilang atau dicuri ketika kerja mengubahsuai bahagian lain sedang dilakukan.

“Terdapat pelbagai jenis bahan untuk jeriji yang boleh digunakan antaranya besi biasa, besi tempa, keluli tahan karat dan aluminium. Setiap bahan ini mempunyai daya tahan dan kekuatan yang berbeza.

“Jeriji jenis besi tahan karat antara bahan yang keras dan kuat untuk digunakan selain sifatnya yang licin, tahan karat dan tidak perlu dicat,” katanya.

Dr Mohd Hafizal berkata, meskipun jeriji tidak menjanjikan keselamatan sepenuhnya tetapi dengan pemasangan bahan keselamatan itu mampu melengahkan masa penceroboh masuk ke dalam rumah.

“Terdapat juga kes pecah rumah meskipun dilengkapi jeriji tetapi sekurang-kurangnya pemasangan alat itu memberi persepsi awal kepada penceroboh bahawa sesebuah kediaman itu tidak mudah untuk diceroboh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 9:59 AM