POKOK aloe vera ada pelbagai manfaat.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

Aliran udara yang sempurna di dalam rumah penting bagi memastikan keselesaan penghuni untuk menghirup udara segar dan menjamin kadar penyimpanan haba di tahap minimum.

Selain menggunakan produk teknologi masa kini bagi menapis udara berkualiti, terdapat variasi jenis tumbuhan hiasan yang memiliki fungsi sama.

Lebih menarik, flora ini juga menyerap gas berbahaya di dalam rumah seperti benzena (daripada cat, permaidani, asap rokok mahupun pewangi kediaman), formaldehid (produk penjagaan rambut, pencuci pinggan) dan sebagainya.

Lidah buaya (Aloe vera)

Aloe vera antara tumbuhan yang mempunyai pelbagai manfaat dan kegunaan ini dikatakan mampu membunuh gas kimia berbahaya yang mencemari udara.

Sebagai pilihan dekorasi hiasan dalaman, pokok lidah buaya ini juga mampu menyerlahkan lagi seri kediaman peribadi. Selain itu, penjagaan pokok ini sangat mudah selagi ia menerima zat daripada sinaran mentari.

Lidah mentua (Sansevieria)

Tumbuhan ini sesuai diletakkan di ruang mencuci pakaian atau bilik mandi kerana ia memiliki kemampuan menyerap gas bertoksik terhasil daripada produk pencuci, tisu tandas dan barangan penjagaan diri lain.

Mempunyai aroma tersendiri seperti bunga lavender, ia juga dapat menghilangkan bauan kurang menyenangkan di rumah terutama tandas dan dapur.

Selain itu, pokok lidah mentua juga boleh menyerap radiasi yang terhasil daripada penggunaan barangan elektronik seperti komputer dan televisyen.


LIDAH mentua miliki aroma tersendiri.

Sirih gading

Pokok ini turut dikenali sebagai golden pothos atau devils ivy sangat mudah ditanam dan cepat membesar.

Boleh ditanam menggunakan tanah atau air, pokok sirih gading dikatakan mampu menyerap racun formaldehid dan karbon monoksida terhasil daripada ekzos kereta.


SIRIH gading boleh ditanam atas tanah atau air.

Lili Paris atau spider plant (Chlorophytum comosum)

Flora jenis ini dikatakan memiliki daya serapan yang sangat tinggi terhadap racun di udara terutama karbon monoksida, xylena, benzena dan formaldehid.

Pokok ini antara jenis tumbuhan hiasan popular kerana ia juga mudah dijaga.

Oleh kerana penjagaannya lebih kepada pencahayaan matahari tidak langsung dan suhu sejuk, ia sesuai diletakkan di ruang peribadi serta tamu.

Areca palm (Dypsis lutescens)

Tumbuhan ini disenaraikan sebagai flora penapis udara teratas oleh penyelidikan NASA kerana ia mampu menghilangkan formaldehid, benzena dan karbon monoksida.

Dracaena (Sanderiana dan Marginata)

Pokok jenis ini boleh berfungsi sebagai penapis udara terutama di ruang yang tertutup atau tingkap yang jarang dibuka.

Penanaman Dracaena di dalam rumah atau pejabat dapat mengembalikan kesegaran udara.


DRACAENA menapis udara di ruang tertutup.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 6:01 AM