SURIANI turut mendapat sokongan suami, Izwan Tajuddin.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


PERKONGSIAN usahawan dalam talian, Suriani Sudin, mengenai projek kolam mini buatan sendiri di kediaman orang tuanya di Tanah Merah, Kelantan antara projek menata rias taman yang boleh dilakukan sendiri di rumah.

Menariknya kolam mini dibina bersama adiknya, Muhammad Ridwan, 21, itu membelanjakan kos tidak lebih RM10 selain masa diambil untuk membinanya juga singkat.

Menampilkan konsep lestari, Suriani memanfaatkan penggunaan kembali barang terbuang selain bahan semula jadi yang sedia ada di sekeliling rumah keluarganya bagi membina kolam kecil terbabit.

Menurut Suriani, pembinaan kolam kecil itu mudah dan tidak memerlukan pemilik kediaman melakukan kerja pertukangan yang rumit.


BATU sungai di susun pada dasar kolam.

LUMUT pada batu hiasan menambah rona semula jadi pada kolam mini.

“Idea itu datang apabila saya mencari sesuatu yang dapat memberi nilai tambah kepada taman herba di halaman rumah. Orang tua saya memang suka bertani dan bapa gemar menanam herba serta tumbuhan hutan.

“Kebetulan ruang itu kecil dan berdekatan kawasan berehat, ada tempat duduk yang jadi ruang bersantai untuk keluarga. Jadi rasanya kolam hiasan antara ‘aksesori’ sesuai dengan keluasan tanah di kawasan berkenaan,” katanya.

Tiada pendidikan formal dan hanya bersandarkan minat, gadis berusia 24 tahun ini menjadikan YouTube serta Facebook sebagai rujukan untuk membina taman terbabit.

“Sebelum projek dijalankan, saya merujuk terlebih dulu cara pembinaan kolam di Internet. Ketika projek dijalankan, kami mengambil masa dua hari untuk menyiapkannya kerana saiznya kecil dan hanya memuatkan ikan kecil seperti ikan laga,” katanya.

Kata Suriani, bagi membentuk dasar kolam, dia menggunakan tayar lori satu tan terpakai lalu ditanam dalam lubang yang sudah dikorek mengikut saiz.

“Mula-mula, kena korek lubang mengikut saiz tayar, kemudian letakkan plastik berwarna putih dengan ketebalan tiga hingga ke empat lapis sebelum batu sungai disusun pada permukaannya.

“Air dituang memenuhi lubang, sementara untuk dekorasi, saya gunakan kayu reput serta batu sekeliling rumah. Menariknya ada satu batu yang tertanam dalam tanah sedia berlumut diletakkan di depan kolam menambah seri pada kolam. Batu berlumut itu menampakkan ia seolah-olah sudah lama di situ.

“Maklumlah kami menggunakan plastik berwarna putih yang biasanya digunakan untuk melapik meja, jadi ia agak menonjol pada mata. Lalu saya tutup material dengan pokok herba dan batu semula untuk mengalih pandangan,” katanya.

Antara pokok herba yang menghiasi kolam mini terbabit termasuklah pokok kesin, ketumbar jawa dan kacip fatimah. Uniknya kolam berkenaan tidak memerlukan pam untuk mengekalkan kejernihan air kerana ikan dipelihara membantu mencuci air secara semula jadi.

“Peminat landskap boleh mencuba kerana tiada kos tambahan selain boleh menempatkan ikan peliharaan yang kecil seperti ikan laga, puyu dan ikan badar raya atau plecostomus.

“Lagipun, hendak menukar air juga tidak rumit kerana kolam ini hanya perlu dicuci satu atau dua kali sebulan. Kemudian air baru dimasukkan semula,” katanya.

Melihat kehadiran kolam berkenaan dapat menyerikan ruang landskap, bapanya, Sudin Manaf yang juga minat dalam hiasan landskap merancang penambahbaikan untuk kolam lebih besar.

“Melihat kolam mini dihasilkan merubah atmosfera landskap laman rumah, bapa merancang membina kolam hiasan lebih besar dengan binaan konkrit. Tentu saja saya mengalu-alukan kerana taman akan bertambah cantik dengan kolam baru itu nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 January 2019 @ 6:45 AM