REKA bentuk melengkung.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my


BANYAK negara berlumba-lumba membina bangunan pencakar langit kerana ingin menonjolkan kehebatan, bukan sahaja dari segi ketinggian tetapi juga reka bentuknya yang unik.

Kewujudannya juga dikatakan mempunyai ‘kuasa’ melonjakkan populariti bahkan menjadi penanda aras kepada pertumbuhan ekonomi di sesebuah negara.

Dalam erti kata mudah, semakin banyak memiliki bangunan pencakar langit, semakin majulah sesebuah negara itu.

Ilham global minggu ini berkongsi empat bangunan pencakar langit popular di dunia tahun ini.


SURIANI turut mendapat sokongan suami, Izwan Tajuddin.

PUSAT DAGANGAN DUNIA TIGA (3 WTC)

BANGUNAN setinggi 329 meter (m) yang dibina di Pusat Dagangan Dunia Tiga di Manhattan, New York, Amerika Syarikat adalah bangunan kelima tertinggi di bandar Raya berkenaan.

Terletak di 175 Greenwich Street di Downtown Manhattan, 3 WTC adalah bangunan bercampur yang dirancang meliputi pejabat dan kediaman persendirian. Lima tingkat (termasuk dua di bawah tanah) dikhaskan untuk perniagaan runcit.

Uniknya bangunan 80 tingkat itu ialah pembinaannya dikelilingi 10,000 panel kaca dari lantai hingga ke siling dan menggunakan konkrit bertelulang di bahagian dalam bagi mengukuhkan struktur bangunan.

Bangunan ini dilengkapi 44 lif penumpang berkelajuan tinggi menggunakan sistem ‘Schindler’ yang boleh membawa penumpang naik ke tingkat 17 dalam masa kurang tiga saat.


KUALA LUMPUR 15 DISEMBER 2018. Menggunakan 16,500 keping kaca untuk dinding Pusat Lakhta.

PUSAT LAKHTA

PUSAT Lakhta yang direka oleh firma seni bina terkenal iaitu RMJM di Saint Petersburg, Russia adalah bangunan tertinggi di negara terbabit dengan ketinggian 462m.

Bangunan ini siap dibina pada Jun lalu menjadi bangunan ke-13 tertinggi di dunia dan pemaju sebuah syarikat gas Russia, Gazprom mendakwa ia bangunan pencakar langit ‘paling utara’ di dunia.

Puncak menara itu berbentuk tirus tajam dan struktur bangunannya kelihatan seperti piramid tinggi.

Sebanyak 16,500 keping kaca berbentuk melengkung digunakan sebagai dinding bangunan yang turut dilengkapi sistem pelindung dan injap automatik. Reka bentuk yang unik menjadikan ia sebagai mercu tanda di bandar Saint Petersburg.


KUALA LUMPUR 15 DISEMBER 2018. Permukaan bangunan dihiasi bingkai berbentuuk hexagon.

PUSAT KEWANGAN PING AN

BANGUNAN setinggi 599 meter (m) yang terletak di Shenzhen, China digelar ‘lobi langit’ kerana ketinggiannya boleh memberikan pemandangan menakjubkan di sekitar bandar itu apabila berada pada aras tinggi bangunan terbabit.

Ia adalah bangunan keempat tertinggi di dunia di belakang Burj Khalifa setinggi 828m, Menara Shanghai (632m) dan Menara Jam Makkah Royal (601m).

Siap dibina pada 2017, puncak bangunan pencakar langit itu berbentuk V terbalik yang mempunyai empat sudut tirus untuk mengurangkan 40 peratus bebanan angin terhadap bangunan.

Manakala tiang keluli tahan karat pada bangunan bertujuan mengukuhkan struktur binaan dan menghalang panahan kilat.

DUO

MENARA berkembar berbentuk melengkung direka arkitek Jerman, Ole Scheeren mempunyai keunikan tersendiri dengan permukaan hadapan dihiasi bingkai berbentuk heksagon yang berperanan menghalang pancaran matahari terus masuk ke dalam bangunan.

Bangunan ikonik Singapura itu dibina bersambungan dengan ruang awam di kawasan kejiranan Kampung Glam.

Menara pertama setinggi 186m adalah kediaman sepenuhnya yang merangkumi 660 unit rumah pangsapuri. Manakala menara kedua pula setinggi 170m (39 tingkat) menempatkan ruang pejabat dan bilik Hotel Andaz bertaraf lima bintang.

Pembinaan ini direka khas untuk mengubah kehidupan masyarakat yang bersikap individualistik kepada komuniti bandar yang mementingkan hubungan sosial sesama jiran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Disember 2018 @ 6:30 AM