PENJAGAAN lantai kayu untuk Dekotaman Harian Metro. FOTO E-mel
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


MEMILIKI kediaman yang mempunyai lantai kayu antara pilihan masyarakat negara ini.

Ia lebih kelihatan eksklusif, lapang dan harmoni, apatah lagi jika disesuaikan dengan konsep hiasan dalaman sesebuah kediaman.

Tambahan pula, ia menampakkan ciri-ciri personaliti pemiliknya yang mungkin gemarkan gaya kediaman lebih mesra alam dan minimalis.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada susun atur dan pemilihan perabot.

Pada masa sama, penjagaan lantai kayu juga sangat penting supaya elemen itu lebih tahan lama.

Berikut beberapa tip dikongsikan sebagai panduan anda:

1. Penyapu lembut

Memandangkan lantai jenis kayu mudah rosak dan calar, penyapu berus lembut antara paling sesuai digunakan bagi membuang habuk atau kotoran.

Jangan gunakan penyapu yang mempunyai berus kasar kerana ia boleh menyebabkan lantai mudah calar dan akhirnya menjadikan permukaan kayu cepat rosak.

2. Pisau plastik dan ais

Sekiranya terdapat kesan makanan terutamanya gula-gula getah atau bahan mudah lekat yang sukar untuk ditanggalkan pada permukaan kayu, jangan sesekali gunakan pisau besi atau bahan terlalu tajam untuk menanggalkannya. Ia bagi mengelakkan ada kesan goresan.

Anda yang menggunakan pisau plastik juga perlu berhati-hati menyodok kotoran mudah lekat dengan lembut tanpa meninggalkan kesan tergores. Penggunaan ais juga antara langkah yang bijak untuk menanggalkan kotoran mudah lekat.

3. Gunakan bahan pencuci yang bersesuaian

Bahan pencuci memainkan peranan bagi memastikan lantai kayu yang dilap atau dimop tidak mudah rosak kerana penggunaan bahan kimia di dalam bahan pencuci berkenaan.

Memandangkan lantai kayu diperbuat daripada pelbagai jenis material kayu, anda seharusnya mempunyai pengetahuan asas mengenainya.

Ada juga kaedah tradisional digunakan seperti cuka dan lemon yang dikatakan mampu membantu membersihkan kotoran lantai kayu.

4. Kasut tumit tinggi? Tanggalkan!

Kayu mempunyai struktur yang sangat sensitif terutamanya pada permukaan mudah tercalar. Oleh itu, sebarang benda tajam seperti kasut tumit tinggi jangan dipakai sekiranya ingin memijak lantai kayu.

Kasut tumit tinggi boleh memberikan tekanan yang kuat kepada struktur lantai kayu dan mungkin juga boleh mengakibatkan ia berlubang jika kerap dipijak pada bahagian sama.

Selain itu, bahagian tirus pada tumit kasut yang tajam turut menyebabkan lantai kayu mudah tercalar.

5. Sensitif pada air

Umum mengetahui, lantai kayu mudah rosak sekiranya digenangi air. Bagi memastikan ia terus bertahan, pastikan lantai kayu di kediaman anda tidak berada dalam keadaan lembap atau basah dalam jangka masa lama.

Ketika membersihkannya, pastikan anda segera mengeringkannya secepat mungkin bagi memastikan kualiti lantai tidak tergang­gu.

Meskipun lantai kayu mudah berhabuk, elakkan kerap membersihkannya menggunakan air dan perlu rajin menyapu dengan berus lembut. Selamat mencuba!

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Disember 2018 @ 8:01 AM