DEKO konsep retro di Bandar Kinrara, Puchong. FOTO Azhar Ramli
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


RIAK wajah gusar yang cuba disorokkan di sebalik senyuman menyambut kedatangan penulis ke kediaman berkeluasan kira-kira 1,500 kaki persegi ini.

Telahan penulis, mungkin juga dia risau jika sentuhannya tidak memenuhi cita rasa hiasan dalaman untuk tatapan pembaca akhbar ini.

Jujurnya, sebaik melihat ruang tamunya terasa begitu tenang hasil dominasi rona putih pada dinding dan warna hitam perabot yang berjaya diadun sebati.

Mungkin juga ada tetamu menyangka kediaman itu adalah milik lelaki maskulin yang masih bujang. Lantaran tidak kelihatan langsung ciri-ciri kediaman orang sudah berkeluarga atau beranak dua!

Ali Agung, 31, mengakui hampir keseluruhan hiasan dalaman kediaman yang disewa sejak awal tahun ini adalah hasil sentuhan tangannya.

Bagaimanapun, isterinya, Najwa Zamani Muda turut menyumbangkan idea dekorasi dan laman pada kediaman itu.

Dari segi konsep, Ali bijak mengetengahkan pertembungan antara minimalis dan klasik yang boleh dilihat menerusi susun atur terancang. Selain itu, perabot juga mempunyai nilai sejarah tersendiri kerana ia barangan lama.

Ali berkata, ilham sentuhan dalaman kediamannya bertitik tolak daripada minatnya mengumpul barangan elektronik dan perabot lama terutamanya sebelum zaman 1990-an.

“Di ruang tamu ini semua perabot dihasilkan pada sekitar 1970-an atau mungkin juga lebih lama kerana terdapat satu perabot yang pernah tetamu memaklumkan ia berfungsi sebagai tempat menyimpan surat atau ubat di kedai Cina selain dilihat lebih berusia daripada barangan lain.

“Kebanyakan perabot dibeli dalam keadaan asli dan saya mengambil inisiatif dengan memperbaiki keadaannya termasuk menukar warna asli kepada hitam, sekali gus mentransformasi fungsi asalnya,” katanya yang turut menjadikan sampan lama sebagai rak kasut di bahagian luar kediaman.

Bapa kepada Mulia dan Minda yang masing-masing berusia empat serta dua tahun ini turut mempunyai cita rasa tersendiri dalam memilih perabot klasik. Hanya perabot berkaki tirus saja menjadi pilihannya.

Katanya, elemen perabot itu sudah mencerminkan nilai estetikanya dan jika tetamu bertandang, mereka sudah dapat mengagak kelengkapan kediaman itu benar-benar antik.

“Selain perabot, saya juga mempunyai pelbagai barangan elektronik antik seperti kipas, pemain piring hitam, radio dan televisyen kecil yang semuanya masih berfungsi. Saya letakkan pada beberapa sudut untuk menghidupkan lagi suasana klasik di ruang tamu.

“Buku-buku lama juga saya susun di atas perabot tertentu yang sepadan dan ia juga salah satu elemen hiasan dalaman ingin diterapkan sekiranya sudah berkeluarga seperti sekarang,” katanya.

Menjawab pertanyaan kenapa rona hitam dan putih di ruang tamu menjadi pilihannya, kata Ali, perabot antik yang diubah suai serta dicat hitam lebih menonjol berlatarkan kanvas putih.

Tambahnya, jika dipadankan perabot gelap dan rona kanvas sepadan dengannya, sudah pasti ruang tamu akan kelihatan lebih luas.

“Dari segi warna, saya mendapatkan maklumat mengenainya menerusi pembacaan dan Internet. Ternyata dinding putih menampakkan ruang tamu kediaman ini lebih luas.

“Apatah lagi warna putih juga memudahkan serakan cahaya lampu ke seluruh ruang, sekali gus menjimatkan elektrik terutamanya pada waktu malam,” katanya.

Bagi memastikan ruang tamu itu sentiasa dalam mood baik, langkah menukar kedudukan perabot dilakukan setiap tiga bulan.

“Kebanyakan perabot ini diperbuat daripada kayu, jadi saya tidak boleh berat tulang membersihkannya disebabkan warna hitam lebih mudah menampakkan habuk.

“Dari segi penjagaan perabot, saya menggunakan pembersih khas. Menariknya, perabot antik ini tahan lasak dan tidak mudah reput jika kita pandai menguruskannya,” katanya.

Ketika berada di kediaman itu juga, pandangan penulis terikat pada empat almari antik berwarna hitam. Satu daripadanya mungkin dihasilkan sebelum 1940-an.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Disember 2018 @ 7:30 AM