KONSEP bangunan yang terbuka.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

Studio arkitek dari Amerika Syarikat, ZGF Architects mengubah bahagian dalaman sebuah hangar yang dibina pada 1940 di Los Angeles menjadi ruang pejabat.

Hangar terbabit yang kini menjadi ibu pejabat Google turut digelar Google Spruce Goose, terletak di Playa Vista iaitu kejiranan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles.

Hangar berbingkai kayu itu dibina pengeluar dan pengusaha filem terkenal, Howard Hughes bagi kemudahan pembinaan kapal terbang H-4 Hercules yang turut mendapat jolokan Spruce Goose kerana saiznya besar dan diperbuat daripada struktur kayu.


DINDING memuatkan penggunaan kaca.

Menerusi projek pengubahsuaian berkenaan, bangunan sejarah itu tampil dengan wajah baru menerusi ruang kerja terbuka, laluan pejalan kaki yang lebih tinggi selain rasuk kayu terdedah.

ZGF Architects menyifatkan kerja pengubahsuaian hangar menjadi pejabat itu antara cabaran besar buat firmanya.

Sekali gus perlu memastikan pendekatan pada rekaan bangunan perlulah unik seiring dengan imej korporat Google.


PASU bunga menambah keceriaan dalam bangunan.

“Rekaan bangunan pejabat ini menuntut pendekatan yang unik memandangkan imej Google sangat berpengaruh selain bangunan itu sendiri kaya dengan sejarah.

“Bagi projek berkenaan, kami gunakan kaedah mencipta ruang menerusi idea bangunan dalam bangunan. Ketika kerja pengubahsuaian dilakukan kami memasukkan plat lantai yang berlainan saiz dan bentuknya.

“Malah konsep terbuka ini membolehkan kakitangan Google di pejabat baru mempunyai ruang lebih dinamik menerusi tangga zig zag dan laluan pejalan kaki yang tinggi,” katanya.


LANDASAN lantai berbeza saiz dan bentuk.

LANDASAN lantai berbeza saiz dan bentuk.

Meletakkan landasan pada perimeter yang dirasakan sesuai pada setiap aras tingkat selain menggunakan pagar jaring dan kaca sebagai penghalang dengan konsep pejabat terbuka.

Tidak mengabaikan perincian pada bangunan, pereka memuatkan rekaan tingkap terbaru berserta aksesori lampu selain melakukan kerja memulihkan blok kayu hangar.

Bangunan keluasan 41,806 meter persegi itu dilengkapi pejabat, bilik persidangan, kafe, pusat kecergasan dan ruang acara yang mampu memuatkan 250 orang.

Pejabat baru itu juga dilengkapi perabot ditempah khas, karya seni yang berwarna-warni dan tumbuh-tumbuhan dalam pasu. Tidak lupa menyelitkan tema penerbangan apabila dimasukkan dalam rekaan bilik telefon dan mesyuarat yang mempunyai nama seperti Kite dan Zephyr.-Nurul Husna Mahmud


HANGAR yang kini menjadi pejabat buat Google.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Disember 2018 @ 5:01 AM