MEMPUNYAI tekstur permukaan kasar.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

Kelainan dalam menata hias kediaman umpama simbolik tersirat bagi menterjemahkan keperibadian dan personaliti individu.

Seperti kecantikan, ia yang tidak mempunyai kriteria mahupun ‘senarai’ khusus kerana setiap keindahan dinilai menurut pandangan peribadi yang sering menepati cita rasa masing-masing. Mungkin indah di mata anda, sebaliknya bagi mereka.

Bagi mereka yang menggilai keunikan dalam mewarnai taman mini kediaman peribadi, satu tarikan penting bagi lokasi berkenaan pastinya kewujudan gazebo atau pondok kecil mahupun ruang santai.

Pilihan kayu tempatan seperti cengal, merbau, balau mahupun kempas antara material utama untuk menghasilkan perabot taman, tetapi lebih unik seandainya kayu landasan kereta api turut tersenarai sebagai alternatif.

Pegawai pemasaran Rustic Wood Arts, Wan Mohamad Izz Wan Azli berkata, perabot taman yang menggunakan kayu landasan kereta api atau lebih dikenali ‘railway sleepers’ mempunyai penggemar tersendiri.

“Agak sukar untuk kita mengetahui daripada jenis pokok apakah kayu landasan kereta api ini dihasilkan, namun yang pasti ia memiliki kekuatan dan tahan lasak bersesuaian dengan fungsi asalnya bagi pengangkutan darat berkenaan.

“Kayu ini sebenarnya agak sukar untuk didapati kerana bekalannya kian berkurangan, tambahan pula kebanyakan landasan kereta api tanah air sudah menggunakan besi serta konkrit bagi menggantikan kayu ini.

“Saya tidak menolak kemungkinan kayu landasan kereta api ini akan hilang dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.


PILIH reka bentuk yang ringkas.

“Ketiadaan ini akan membuatkan perabot diperbuat daripada kayu ini akan menjadi lagi semakin unik dan sukar ditemui malah harganya mungkin turut melambung.

“Perabot daripada kayu landasan kereta api sering menjadi pilihan untuk hiasan taman seperti meja dan bangku. Selain itu, ia turut dijadikan aksesori taman seperti laluan pejalan kaki ataupun pagar antik.

“Harga terkini bagi sebatang kayu landasan kereta api yang berkualiti boleh mencecah RM100 berbanding hanya RM18 hingga RM20 sebelum ini.

“Selain itu, kayu landasan kereta api turut dikelaskan kepada tiga gred, A (berharga RM100 ke atas), B (RM70 ke atas) dan C (RM50 ke atas),” katanya ketika ditemui di Segamat, Johor.


PERABOT kayu landasan kereta api miliki nilai eksklusif.

Kayu landasan kereta api mempunyai tekstur permukaan kasar dan berjalur-jalur yang terbentuk akibat proses semula jadi (perubahan cuaca panas dan hujan) sepanjang ia berfungsi di landasan kereta api.

Keindahan dan keunikan kayu ini terletak pada kecacatan semula jadi ini kerana ia menepati cita rasa desa dan konsep industri.

Menurut Wan Mohamad Izz lagi, rekaan perabot taman selalunya lebih mesra pengguna dan santai.

Selain itu, kebanyakan pelanggan memilih reka bentuk yang ringkas demi mengekalkan keaslian material kayu digunakan sekali gus menjadikannya lebih eksklusif.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Disember 2018 @ 6:00 AM