PERHIASAN dan meja pelbagai saiz dari marmar.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


PERABOT, perhiasan dan kraf lain berasaskan kemasan keras marmar menjadi motif utama rekaan apartmen Milanese, hasil kerja Elissa Ossino Studio untuk pemilik jenama jubin Salvatori.

Apartmen itu yang terletak di kawasan lama berusia 200 tahun di Brera, Milan, Itali itu juga berhadapan dengan laman ruang galeri Salvatori Milan iaitu premis jenama berkenaan menjual pelbagai jenis jubin, perabot dan perkakas rumah berasaskan batu semula jadi.

Bosan dengan kediaman yang tidak berkonsep, Gabriele Salvatori menugaskan Elissa mengubah apartmen itu supaya ruangnya dapat memberi ‘jiwa’ dan keselesaan terutama ketika menerima kunjungan tetamu mahupun pelanggan.

“Ia adalah peluang sangat baik untuk bereksperimen dengan koleksi produk marmar Salvatori yang indah dalam persekitaran domestik.

“Saya mahu mewujudkan ruang dalaman yang berupaya memberitahu siapa Salvatori dan kaitannya dengan pengeluaran marmar,” kata Elissa.


PENYENDAL pintu daripada marmar menjadi hiasan unik.

Dinding pemisah di ruang tamu dan sebahagian siling dipecahkan untuk memberi ilusi ruang lebih luas. Malah Elissa turut memperkenalkan kepingan marmar berwarna untuk membentuk dekorasi yang memaparkan kepelbagaian bentuk tiga dimensi.

Terdapat juga pilihan marmar dari Salvatori yang memenuhi ruang berhampiran sofa dan kerusi rotan. Ini termasuk almari kayu oak Colonnata yang mempunyai pembahagi rak marmar bersisik dan satu siri pasu hiasan juga marmar bagi melengkapkan aksesori sekeping lukisan karya terkenal, Giorgio Morandi.

Lantai terrazo bercorak gelombang yang lama masih dikekalkan. Namun, dinding ruang makan dicat kelabu gelap dan dipadankan dengan siling berwarna merah jambu. Satu meja marmar monokrom disusun di tengah-tengah ruang ini sebagai titik tumpu.

Kemasan marmar berwarna kelabu menghiasi dinding bilik air, manakala rona lebih gelap digunakan dari koridor hingga bilik tidur utama.

“Penggunaan marmar, warna dan lantai sedia ada seakan-akan berhubung antara satu sama lain dan inilah antara minat saya,” kata Elissa.


PENYENDAL pintu daripada marmar menjadi hiasan unik.

Salvatori yang diasaskan pada 1946 adalah satu daripada pengeluar utama jubin dan marmar di Itali. Ia banyak digunakan pereka dalaman dan arkitek seni bina termasuk John Pawson yang terkenal.

Projek Elissa ini dianggap sebagai pencetus gaya dalam mempelbagaikan penggunaan marmar di ruang kediaman.

Contoh lain yang berjaya diketengahkan termasuk pangsapuri di Portugal yang mempunyai bilik air berkonsepkan marmar berwarna merah kekuningan dan kediaman mewah di Belgium dengan dinding marmar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Disember 2018 @ 6:30 AM