TERRARIUM menarik jika mempunyai susun atur yang kreatif.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@hmetro.com.my

Dekorasi laman rumah semestinya mempunyai inovasi dan sentiasa berkembang dari semasa ke semasa. Jika suatu ketika dulu menghias kediaman hanya dengan tanaman hijau di atas tanah atau pasu, kini ia berubah di dalam balang yang lebih kecil tetapi mampu menarik perhatian.

Ia dikenali sebagai terrarium iaitu perhiasan tanaman dan pelbagai aksesori dalam bekas atau balang yang diperbuat daripada kaca atau plastik lut sinar. Mula diperkenalkan pada 1842 oleh seorang ahli botani British bernama Nathaniel Bagshaw Ward.

Kini, tanaman di dalam balang itu semakin mendapat perhatian di negara ini terutama bagi menghias ruang di dalam rumah yang agak kecil atau meja di pejabat.

Penggubah terrarium Aziz Majid berkata, terrarium terbahagi kepada dua jenis iaitu berpenutup dan tanpa penutup.

Terrarium berpenutup mempunyai kitaran udara pernafasan pokok dalam balang yang tersendiri.

Katanya, ia berikutan air yang terdapat dalam balang akan berada dalam bekas atau balang itu saja. Bekas begini tidak memerlukan siraman yang kerap seperti terrarium tanpa penutup atau terbuka.

“Terrarium terbuka memerlukan siraman air yang lebih kerap, ini memandangkan air diserap dalam bekas terrarium lebih cepat sejat ke udara kerana ia tidak dihalang sebarang penutup.

“Selain itu, cuaca di negara khatulistiwa seperti Malaysia yang panas-lembap menyebabkan terrarium terbuka perlu penjagaan yang lebih rapi.


BAHAN digunakan untuk membuat sebuah terrarium.

Semua jenis terrarium tidak boleh diletakkan di bawah panas terik matahari dan kawasan yang terlalu kering,” katanya.

Berkongsi beberapa kesilapan dalam menghasilkan sebuah terrarium biasanya terletak pada susunan lapisan batu-batuan, pasir, arang, lumut kering, lumut hidup dan perhiasan serta pokok yang disusun dalam bekas atau balang berkenaan.

Katanya, susunan yang betul sangat penting bagi memastikan setiap sebuah karya terrarium bertahan lebih lama jika dijaga dengan baik.

“Ketika awal pembabitan dalam dalam penghasilan terrarium ini, saya membuat susunan bahan bahan mengikut logik semata-mata.

“Batu-batuan besar umpamanya berada di lapisan paling bawah dan diikuti lapisan kedua batuan lebih kecil, pasir, kompos atau tanah.

“Kemudian baru saya letakkan lumut atau pokok kecil bersama hiasan tambahan bagi mencantikkannya.

“Saya juga tidak meletakkan arang dan lapisan lumut kering yang dibasahkan.

“Namun hasil perkongsian tip dan maklumat barulah saya memasukkan arang bagi memastikan pengedaran udara dan sisa toksik yang dikeluarkan dalam setiap balang terrarium (khususnya balang terrarium berpenutup) dapat distabilkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 November 2018 @ 6:01 AM