Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


BANJIR besar melanda Kuala Krai, Kelantan pada 2014 antara bencana terburuk melumpuhkan fungsi bandar berkenaan selama sebulan.

Kesan tragedi berkenaan menjejaskan 1,850 kediaman dengan ribuan penduduk hilang tempat tinggal termasuk tiada pendapatan untuk kelangsungan hidup.

Menerangkan punca kepada kemusnahan ketara selain didorong faktor pembalakan tidak terkawal membabitkan kawasan hutan negeri itu, kata arkitek Firma Mustapha Kamal, Ar Mustapha Kamal Zulkarnain, faktor alam semula jadi menerusi kenaikan paras air Sungai Kelantan yang mendadak akibat hujan turun berhari-hari tanpa henti, kedudukan daerah itu di tengah pertembungan tiga anak cabang Sungai Kelantan memburukkan situasi.

“Kesannya aliran bah bertembung merekodkan paras air sungai ketika itu sebenarnya lebih 10 meter daripada paras amaran bahaya.

“Selain kemusnahan teruk kepada bangunan dan kesimpulan daripada kajian bencana itu, Kuala Krai bukanlah kawasan yang wajar bagi tujuan pembangunan kediaman mahupun komersial yang selamat.

SISTEM terowong bawah tanah bersaiz sebuah bandar di Tokyo.

SITUASI banjir di bandar tersohor Venice.

TEKNOLOGI terkini membabitkan sistem tebatan banjir berinovasi tinggi mampu mengawal aliran air kawasan bandar.

“Faktor paling kritikal dalam pembinaan bangunan, sebenarnya lokasi dipilih perlu dikenal pasti terlebih dulu menepati spesifikasi selamat,” katanya yang ketika itu mewakili Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) bagi tujuan penubuhan Jawatankuasa khas iaitu Malaysian Disaster Preparedness Centre (MDPC) dalam usaha membantu kerajaan.

Merujuk kepada situasi bencana sama sedang berlaku ketika ini di Venice, Itali, Mustapha menyifatkan pelan pembangunan bandar terutama dalam menangani banjir, sama ada bangunan atau infrastruktur termasuk sistem perhubungan dan pengangkutan sehinggalah kepada penduduk serta pelancong tidak berasa ia satu masalah besar meskipun tiga perempat bandar itu sudah tenggelam.

Risiko paling buruk hanyalah kerosakan minor monumen sejarah membabitkan bangunan kerana terendam lama dalam air masin, namun tidak menjejaskan fungsi bangunan dan operasi serta rutin harian penghuni bandar berkenaan.

“Kalau negara maju seperti di Tokyo, Jepun mereka mempunyai terowong bawah tanah yang mampu menyimpan 200 tan air bermula dari Showa sehinggalah ke Kasukabe di Saitama.

“Paling sofistikated ialah penyelesaian diambil London apabila membelanjakan kos tinggi bagi pembinaan sistem tambatan banjir di muara Sungai Thame bagi mengawal paras air keluar dan masuk ke kota itu,” katanya.

Beliau turut menerangkan sistem atau langkah dalam menangani bencana terbabit di negara ini, ketika ini dalam kes bangunan sedia ada di kawasan berisiko banjir, pembinaan Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART) antara projek penyelesaian pintar menangani isu berkenaan.

“Di Kuala Lumpur, rasanya ramai menyedari kewujudan terowong SMART yang membantu menyimpan air apabila berlaku peningkatan mendadak pada Sungai Klang dan Gombak, Selangor.

“Sistem ini berfungsi menerusi terowong yang berperanan sebagai saliran air dari kawasan rendah ke kolam tadahan bagi menampung jumlah air yang meningkat.

“Kemampuan terowong ini menyimpan air dua hingga tiga hari boleh mengurangkan masalah banjir berlaku dalam bandar.

“Inisiatif lain dilakukan pihak berkuasa tempatan iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) termasuk pembinaan kolam banjir bawah tanah yang mampu menakung 10,000 meter padu air hujan dalam satu masa dua tahun lalu,” katanya.

Kata Mustapha lagi, terdapat alternatif boleh dilaksanakan pada peringkat mikro iaitu merujuk kepada mekanisme sistem kawalan banjir dalam bangunan.

“Kalau lihat pada struktur kediaman atau komersial bertingkat, terdapat pam khas membantu pengaliran air bertakung yang selalunya berlaku pada ruang bawah tanah dalam bangunan ke sistem saliran berhampiran.

“Bagi bangunan di laut pula, pembinaan dinding berlapis membabitkan ruang antara kedua-dua dinding yang menyerupai sistem saliran seperti di luar bangunan. Langkah ini turut dinamakan sebagai pelan pengurangan banjir membabitkan bangunan komersial atau kediaman bertingkat,” katanya.

Tidak lupa mengetengahkan konsep bandar ideal, kata Mustapha, ia sesuai dengan pelan struktur Kuala Lumpur 2040 dalam mewujudkan konsep bandar berdaya tahan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 November 2018 @ 7:01 AM