CHULALONGKORN University Centenary Park dirasmikan pada Mac 2017.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

Setiap tahun, bandar raya Bangkok direkodkan tenggelam pada kadar lebih satu sentimeter dan dijangka boleh berada di bawah paras laut menjelang 2030 jika langkah proaktif tidak diambil.

Faktor terletak di kawasan delta Sungai Chao Praya membuatkan bukan saja Bangkok berdepan isu tenggelam bahkan bandar raya terkenal lain termasuk Shanghai, Tokyo mahupun Los Angeles bakal terjejas gara-gara perubahan iklim global hari ini.

Menyedari impak bencana alam akibat kerakusan membina hutan konkrit, firma Landprocess milik Kotchakorn Voraakhom, tampil dengan konsep ‘how we live with water’ menerusi pembinaan Chulalongkorn University Centenary Park sejak lima tahun lalu.

Pada 2011, Thailand berdepan tragedi banjir yang paling teruk dalam sejarah negara berkenaan. Pembinaan taman berkeluasan 11 ekar (bersamaan 44,415 meter persegi) ini memainkan peranan penting iaitu mengumpul, membersihkan air seterusnya mengurangkan suhu panas melampau di Bangkok.

“Lima tahun lalu, saya dan pasukan berjaya memenangi pertandingan projek bagi meraikan sambutan ulang tahun ke-100 Chulakongkorn University yang juga institusi pengajian tinggi tertua di Thailand.

“Sebenarnya agak sukar buat kami untuk ‘memaksa’ idea dan konsep taman simpanan air ini diterima serta dilaksanakan di tengah bandar raya konkrit.

“Tujuan utamanya bukanlah ingin membina satu lagi taman di Bangkok, sebaliknya kita mahu memperindahkan dan mereka bentuk semula landskap bandar bagi manfaat rakyat.

“Selain itu, fungsi penting taman ini adalah menjadi tangki simpanan air hujan ketika berlaku musim tengkujuh sekali gus mengelak banjir besar melanda Bangkok,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Dialog Antarabangsa Seni Bina Landskap SPARK, minggu lalu.


BERFUNGSI sebagai tangki simpanan air hujan di Bangkok.

Ini terbukti apabila Chulalongkorn University Centenary Park mampu menampung satu juta gelen atau 3.8 juta liter air.

Mengambil dua inspirasi utama iaitu pokok hujan dan pipi monyet, Kotchakorn berkata, inspirasi berkenaan merujuk kepada usia Chulalongkorn University sementara pipi monyet pula metafora kegemaran mendiang Raja Bhumibol.

“Pokok hujan adalah simbolik kepada universiti ini, ia mempunyai sistem akar dan cabang ketara yang mewujudkan teduhan serta ekologi persekitaran. Kami berharap infrastruktur hijau ini dapat berkembang seperti akar pokok hujan ke kawasan bandar.

“Pipi monyet adalah metafora kegemaran raja Thailand terdahulu bagi menjelaskan bagaimana Bangkok berjaya mengadaptasi keadaan banjir.

“Monyet sentiasa menyimpan makanan dalam mulut, di bahagian pipi. Begitu juga dengan Bangkok seharusnya mampu menampung air banjir hingga ia dapat dimanfaatkan semula.

“Menggunakan inspirasi ini, kami membina komponen pengekalan air ke dalam tanah menerusi tiga elemen utama menggunakan sistem sama.

“Tiga elemen taman itu adalah bumbung hijau, tanah paya dan kolam penahanan air. Disebabkan Bangkok terletak di kawasan yang rata, kami cuba ‘meninggikan’ taman ini sekali gus memanfaatkan kekuatan graviti.

“Taman ini direka pada kedudukan bersudut, oleh itu apabila air hujan turun di bahagian atas (bumbung hijau), ia akan mengalir ke tanah lembap sebelum terkumpul di kolam penahanan air,” jelasnya.


BANJIR antara bencana alam paling biasa di Bangkok.

Terdapat tiga tangki simpanan besar di bawah bumbung hijau yang boleh menampung 250,000 gelen air dari bumbung hijau berkenaan.

Ketika musim kemarau, simpanan air hujan dalam tangki ini membolehkan taman disiram selama 20 hari tanpa air disia-siakan.

Bagi bahagian tanah paya pula, ia bertindak sebagai penapis air apabila kawasan tumpuan kanak-kanak ini turut ditumbuhi flora akuatik yang mampu membersihkan air berkenaan.

Kata Kotchakorn, di Bangkok sukar untuk menikmati keindahan alam semula jadi dan kehijauan kerana pembangunan berlaku terlalu pesat, oleh itu taman ini boleh dijadikan ruang sosial buat rakyat.

Selain itu, Chulalongkorn University Centenary Park turut mempunyai lapan kelas lapangan (luar bangunan) berbeza infrastruktur, reka bentuk dan konsep bagi kemudahan pelajar.


BERJAYA memperindahkan lagi landskap Bangkok.

Kata wanita ini, pembinaan Chulalongkorn University Centenary Park mungkin tidak mampu mengawal banjir di seluruh bandar namun ia adalah permulaan kepada masyarakat untuk berfikir mengenai tindakan selanjutnya.

Terbaru, Kotchakorn berjaya menyempurnakan projek bumbung hijau dan taman di bahagian atas Hospital Ramathibodhi.

Selain itu, mengusahakan taman seluas 36 hektar di Thammasat University yang mempunyai fungsi seperti Chulalongkorn University Centenary Park untuk mengurangkan impak banjir.

Bakal memenangi anugerah di Thailand dalam masa terdekat, taman yang dirasmikan pada Mac 2017 ini turut menyuntik elemen budaya dalam seni bina dan rekaannya.


PERASMIAN Dialog Antarabangsa Seni Bina Landskap SPARK minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 November 2018 @ 9:01 AM