PENGGUNAAN dinding kaca menyajikan keindahan lautan.
Susunan Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

Memanfaatkan keindahan dan keunikan semula jadi persisiran pantai Tulum dan kebiruan Laut Caribbean memberi inspirasi kepada pembinaan hotel butik Habitas.

Terletak di persisiran pantai persendirian, Habitas diasaskan Oliver Ripley, Kfir Levy dan Eduardo Castillo ini antara rangkaian kumpulan perhotelan berpengalaman yang turut memiliki rumah kelab di New York dan Los Angeles.

Memiliki 32 bilik tidur termasuk rangkaian suite berbeza konsep sama ada berdekatan tepi laut mahupun hutan, ruang ini menawarkan akses privasi kepada pengunjung.

Menariknya, bilik tidur dibina menggunakan material asli seperti bumbung diperbuat daripada palapa (material buluh) semula jadi, berdindingkan kain tona putih berfungsi menghubungkan ruang terbuka kepada beranda peribadi dan bilik mandi ‘outdoor.’


BILIK tidur dibina atas platform kayu.

Akses peribadi ini membolehkan pengunjung menikmati alam semula jadi dengan lebih dekat, sama ada menghirup udara nyaman pantai, menyaksikan keindahan lautan biru mahupun menikmati ketenangan hutan.

Setiap bilik tidur dibina di atas platform dengan ketinggian tertentu menggunakan kayu berkualiti dan keras sekali gus menyeimbangkan elemen alam semula jadi kepada pengunjung.

Bagi menyuntik elemen semula jadi, hiasan dalaman bilik tidur turut diselitkan aksesori tona neutral seperti coklat dan hitam bagi perabot kayu serta sentuhan Bohemian menerusi tekstil berwarna-warni.

Sementara ruang santai dan sosial pula, Habitas menambah elemen kaca dan keluli menerusi pembinaan struktur di bahagian tengah hotel.

Kelainan ini menyerlahkan lagi perbezaan fungsi ketara antara dua ruang utama iaitu santai dan privasi (bilik tidur).


MEMBERI sentuhan semula jadi.

Struktur kaca yang mempunyai tiga tingkat di ruang santai ini berfungsi sebagai hab sosial apabila ia turut menyediakan restoran gaya Moorish, tingkat mezanin serta beranda di atas bumbung.

Bahagian bawah ruang santai ini pula masih mengekalkan tarikan elemen pasir pantai, dihiasi bersama variasi perabot rekaan antik diperbuat daripada kayu dan kusyen berwarna-warni mengikut tema tertentu.

Terletak 80 batu di selatan Cancun di Riviera Maya, Mexico, pembinaan Habitas di Tulum yang sememangnya destinasi peranginan popular dalam kalangan pencinta alam berjaya merancakkan lagi penginapan hotel eko di kawasan berkenaan.


RUANG santai pelbagai tema.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 November 2018 @ 8:03 AM