GERANIUM sebagai penyeri balkoni.
HM Digital

Geranium adalah tumbuhan yang popular ditanam di kawasan taman. Malah, ia kerap ditanam dalam pasu gantung untuk hiasan di dalam dan luar rumah.

Menanam pokok bunga ini juga mudah, asalkan anda menyediakan keperluan secukupnya. Penjagaannya bergantung kepada di mana anda menanamnya kerana keperluan berbeza mengikut lokasi di dalam atau di luar bangunan.

Jika dalam bangunan, geranium memerlukan banyak cahaya matahari untuk mekar. Namun boleh bertoleransi dengan cahaya matahari yang sederhana. Ia juga memerlukan suhu ruang tertutup sekitar 18 hingga 21 darjah Celsius pada sebelah siang dan kira-kira 13 darjah Celsius untuk sebelah malam.

Bagaimanapun, jika ia ditanam dalam pasu tanaman ini memerlukan tanah dengan aliran air yang baik. Begitu juga jika ia ditanam di luar rumah, ia memerlukan tanah lembap dengan aliran yang baik dan seimbang komposisinya antara jenis tanah, batuan serta baja.


BUNGA geranium pelbagai warna ditanam dalam pasu.

Sementara itu, penjagaan geranium yang ditanam di luar dan dalam rumah sebenarnya memerlukan kemahiran asas.

Penyiraman pokok bunga ini cukup hanya membasahkan tanahnya dan disiram semula jika tanah itu menunjukkan tanda akan kering, namun air diperlukan lebih kerap jika cuaca panas.

Elakkan saliran yang terbuka ketika menyiram supaya tidak menimbulkan isu berkaitan serangan serangga dan penyakit tanaman.

Membajanya juga mudah apabila cukup dengan siraman air yang dibancuh tablet baja atau komposisi baja 5-10-5 dengan tambahan organik setiap empat atau lima minggu pada musim membesar.

Bagi pokok yang ditanam dalam pasu pula mungkin perlu ditukar pasu baru jika tumbesarannya berlebihan yang boleh dikesan menerusi lelehan ketika siraman. Begitu juga dengan pemangkasan pucuk lama yang perlu dibuat untuk menggalakkan pertumbuhan pucuk baru. Namun tanaman ini juga boleh dibiakkan menerusi keratan dahan.


LALUAN pejalan kaki indah dihiasi bunga geranium.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Oktober 2018 @ 7:30 AM