LIM (tengah) bersama pereka Pride Studio Sdn Bhd Patrick Chin (kanan) pada previu media Homedec KL.
HM Digital

Bertepatan dengan tema Fesyen untuk Rumah Anda, penganjuran dua siri Pameran Hiasan Dalaman dan Rekaan Rumah (Homedec KL) berlangsung Khamis lalu hingga esok, diikuti 1 November hingga 4 November ini.

Ia membawakan trend dekorasi kediaman terkini dan inovatif mengikut cita rasa masyarakat hari ini.

Bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pameran dekorasi terbesar anjuran CIS Network Sdn Bhd kali ini lebih teliti dengan kehendak pengunjung apabila setiap siri pameran membawa konsep berbeza, Bahagian 1: ‘Design and Renovate’ dan Bahagian 2: ‘Furnish and Decorate’.

Presidennya Datuk Vincent Lim berkata, Homedec KL Bahagian satu memfokuskan kepada idea rekaan dan pengubahsuaian kediaman dengan ciri-ciri istimewa untuk keselamatan di bawah ‘Homedec Inspires’ yang diperkenalkan CIS.

“Keselamatan rumah dan penghuni adalah aspek penting yang tidak boleh diabaikan. Rumah adalah keperluan asas yang menghimpunkan keluarga, justeru keselamatan adalah keutamaan mutlak.

“Keselamatan di rumah sering dikaitkan dengan jenayah kecurian dan pecah rumah.

“Namun dengan pengenalan teknologi dan peranti terkini menggabungkan pelbagai elemen bukan saja melindungi kediaman bahkan memberi nilai tambah ‘fesyen’ pada ruang.

“Sementara bahagian dua pula lebih menjurus kepada dekorasi kediaman yang bertujuan memberi inspirasi kepada pengunjung.

“Ini bersesuaian dengan tema Rumah Generasi Baru dan kehidupan gaya studio yang menampilkan ciri-ciri moden asas dwifungsi serta konsep terbuka.

“Lebih menarik lagi, pengunjung juga berpeluang menyaksikan rumah contoh M-Quarters yang menjadi pilihan generasi milenial dan Z,” katanya dalam previu media Homedec KL, baru-baru ini.

Menjangkakan kehadiran lebih 80,000 pengunjung dengan nilai transaksi sebanyak RM100 juta, Homedec KL turut menampilkan kedai ‘pop-up’ bertujuan membantu pengunjung membeli-belah secara dalam talian, seterusnya berunding secara profesional dengan pakar pereka dalaman yang dipercayai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Oktober 2018 @ 7:00 AM