PELBAGAI jenis ukiran kayu hiasan yang ditempah pelanggan.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


MEMILIKI kediaman yang menarik dan teratur menjadi idaman semua kerana ia antara terapi apatah lagi diserikan dengan pelbagai jenis ukiran kayu hiasan pada segenap ruang dalaman.

Apa saja bentuk ukiran kayu sama ada yang digantung pada dinding atau diletakkan atas meja pasti menyerlahkan dekorasi selari cita rasa pemiliknya.

Ukiran kayu memerlukan ‘jiwa’ kerana ia adalah seni pertukangan tangan yang menjadi salah satu tradisi masyarakat Melayu sejak turun-temurun.


IDEA ukiran selari permintaan pelanggan.

Teknik dan proses memainkan peranan penting dalam penghasilan ukiran supaya tampak eksklusif dan sentiasa segar mengikut peredaran zaman.

Ada empat teknik ukiran iaitu teknik ukir timbul, teknik ukir tembus, teknik ukir layang dan teknik kerawang.

Semua teknik ukiran berkenaan menggunakan peralatan yang sama iaitu pisau wali dan pelbagai pahat.

Produk ukiran kayu hiasan yang ditonjolkan pemilik Idea Craff & Wood, Azizul Ahmad, 45, umpamanya sering mendapat permintaan dek kemampuannya memberikan wajah baru pada ruang.


AZIZUL memperincikan keunikan ukiran kayu 3D yang dihasilkannya

Kebanyakan reka bentuk yang Azizul berkonsepkan moden kontemporari untuk diselarikan dengan cita rasa pelanggan.

Lantas, ukiran bermotifkan daun, akar, ranting, bunga dan arus laut sering menjadi pilihan.

“Kepelbagaian cita rasa memberikan cabaran untuk saya hasilkan ukiran terbaik.

“Hingga hari ini ia bukan hanya mendapat tempat dalam kalangan masyarakat negara ini, malah ada juga pelanggan dari luar negara antaranya Perancis, Belanda, Jepun, Singapura dan Korea Selatan.


ANTARA ukiran moden kontemporari yang kian popular.

“Kebanyakan ukiran ini berasakan kayu jati dan nyatoh yang dijual antara RM100 hingga RM12,000,” katanya yang ditemui di bengkelnya di Jalan Padang Tembak, Langkawi, Kedah, baru-baru ini.

Ia sempena Program Lawatan Mengenal Industri Perkayuan oleh Agensi Media serta Perbankan ke Wilayah Utara anjuran Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).

Malah Azizul mengakui hiasan dinding ukir tiga dimensi (3D) juga semakin mendapat sambutan kerana ia sesuai diketengahkan untuk pelbagai konsep penataan ruang kediaman atau pejabat.


UKIRAN tapak sulaiman dan motif unik menarik dijadikan cenderahati.

“Walaupun ia mengambil masa yang lama untuk disiapkan, hasilnya sangat memuaskan,” katanya yang menceburi bidang ukiran kayu hiasan ini sejak 20 tahun lalu.

Baginya, setiap cabaran yang ditempuhi adalah asam garam dalam mencipta nama sebagai pengukir kayu tersohor suatu hari nanti.

Apatah lagi, sejak remaja Azizul begitu cenderung menghasilkan sesuatu barangan mengikut daya kreativitinya sebelum menjadikannya sebagai sumber pendapatan.

“Kerja penghasilan setiap ukiran ini pula tidak boleh ‘diganggu’ atau orang lain yang menyambungnya. Kebanyakan pelanggan hendak saya yang buat. Oleh itu, kita kena jaga kualiti supaya ada kesinambungan tempahan akan datang.


KREATIVITI ukiran yang mampu menyerikan segenap ruang kediaman atau pejabat.

“Kebanyakan tempahan diterima daripada pihak hotel di sekitar Langkawi yang mahu menghias ruang lobi atau bilik hotel mereka.

“Alhamdulillah, MTIB banyak memberi bantuan dari segi kemudahan mesin dan kursus untuk meningkatkan taraf usahawan kecil,” katanya yang melihat industri ukiran kayu mempunyai masa depan tersendiri sekiranya dilakukan dengan bersungguh-sungguh.


UKIRAN dinding 3D bermotifkan bunga sepit udang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Oktober 2018 @ 5:01 AM