BALKONI menghadap ke selatan.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


BANGUNAN lima tingkat, Dortheavej Residence di bahagian barat laut Copenhagen, Denmark ialah satu projek pangsapuri mampu milik rekaan firma Bjirke Ingels Group (BIG).

Pangsapuri berkenaan menawarkan 66 unit kediaman baru bagi penduduk berpendapatan rendah di kawasan terbabit. Setiap unit keluasannya antara 60 hingga 115 meter persegi selain ketinggian 3.5 meter lengkap dengan perincian panel tingkap berketinggian penuh dan balkoni yang menghadap bahagian selatan.

Uniknya struktur pangsapuri iaitu terdiri daripada susunan blok pasang siap yang terbina dengan kombinasi konkrit dan kayu. Ia saling bertindih dan sebahagian kecilnya terletak di bahagian sisi dan berselang antara ruang kosong serta blok.

Menerusi pandangan sisi depan, corak terbentuk atas susunan yang sedemikian antara blok pasang siap dan ruang kosong seperti susunan papan dam.

Projek berkenaan yang bermula sejak 2013 ialah inisiatif Pertubuhan Perumahan Mampu Milik tidak berkepentingan, Lejerbo. Pertubuhan itu mahu BIG mewujudkan kediaman mampu milik di kawasan awam di lokasi terbabit termasuk mengekalkan laluan pejalan kaki terbuka selain laman hijau.

Kata Presiden Lejerbo Copenhagen Jan Hyttel, pihaknya meletakkan kriteria terhadap rekaan pangsapuri itu perlulah selaras dengan objektifnya iaitu menyediakan penempatan mampan, selamat dan praktikal.

Sementara itu, Pengasas Bersama BIG Bjarke Ingels berkata, menjalankan projek berorientasikan komuniti seperti kediaman mampu milik menjadi satu cabaran dalam industri arkitek kerana kekangan bajet.

“Kami cuba menggerakkan semua model pembinaan yang menggunakan material lebih jimat bagi mencipta ruang selesa buat kediaman di lokasi bandar. Penggunaan blok pasang siap antara alternatif dan diperkukuhkan dengan konsep serta rekaan praktikal.

“Kelebihannya ialah blok dipasang pada struktur bangunan dengan kaedah sebegini akan membenarkan penambahan meter pada panjang atau tinggi pada unit kediaman terbabit selain mewujudkan ruang dapur dan tamu yang lebih selesa.

“Menerusi penyesuaian kedudukan modular (blok), ruang tamu lebih terarah ke halaman sambil blok linear melengkung menjauhi jalan bagi memberi ruang ekstra kepada laluan pejalan kaki hingga ke lapangan awam. Sebalik kekangan bajet dihadapi di Dortheavej, kami masih mampu memberi nilai tambah bagi individu dan masyarakat,” katanya.

Menerusi projek terbabit BIG dan Lejerbo menerima anugerah penghargaan Lille Arne Award daripada Danish Association of Architects.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Oktober 2018 @ 4:04 PM