Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


APABILA pasu bunga pecah, pemilik tanaman hiasan biasanya akan menukarkan dengan pasu baru. Pasu lama dibuang kerana ramai menyangkakan ia tidak boleh dikitar semula.

Hakikatnya pasu pecah boleh dikitar semula menjadi aksesori yang dapat memperindahkan taman. Disenaraikan beberapa idea yang boleh anda lakukan untuk mengitar semula pasu yang pecah.


1. PASU pecah dijadikan label tanaman.

1. Menjadi pasu hiasan buat tumbuhan ‘succulents’

Tumbuhan jenis ini biasanya tampak unik jika menggunakan pasu pecah sebagai tempat tanaman apatah lagi diletakkan dalam deretan tanaman lain dalam kebun anda. Perincikan dengan hiasan batu kerikil berwarna-warni atau neutral yang boleh menyerlahkan hiasan landskap.


2. SERPIHAN pasu baik membantu melembapkan tanah.

2. Membantu memelihara kelembapan tanah

Apabila pasu bunga anda berderai, gunakan ia bagi medium untuk menutup tanah. Hanya pecahkan pasu kepada kepingan kecil dan taburkan pada permukaan tanah. Tanah anda akan lembap dan subur untuk tanaman.


3. BOLEH dijadikan taman miniatur.

3. Boleh digunakan untuk membuat taman mini

Pada mereka yang sukakan kerja menggubah, pasu pecah boleh dijadikan platform asas dalam menghasilkan taman mini untuk aksesori taman atau balkoni anda.

Gunakan material seperti tanah, tumbuhan kecil, model rumah mainan dan batu hiasan untuk melengkapkan rekaan taman mini idaman anda.


4. MEDIUM baik untuk tumbuhan succulents.

4. Label tanaman

Pasu pecah boleh digunakan sebagai label untuk tanaman. Ini ialah cara kreatif untuk mendidik anak anda mengenali tumbuhan di kebun atau taman anda.

5. Rumah haiwan peliharaan

Ada sesetengah pasu boleh diubah menjadi rumah untuk haiwan kecil. Antaranya tikus, burung mahupun aksesori dalam akuarium anda.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Ogos 2018 @ 1:21 AM