BASIKAL posmen dari Jepun menghiasi ruang pintu masuk.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Hasrat menghadiahkan kenangan lama kepada bapanya mendorong seorang pemilik agensi takaful dan insurans menghias semula rumah rehat keluarga dengan kombinasi barangan vintaj dan perabot buat sendiri (DIY) menggunakan barangan terpakai.

Kediaman yang berkonsepkan rumah kebun di Batang Kali, Selangor, milik Richard Low, 40, mengambil masa tiga tahun untuk diubah suai dan ditata rias dalamannya supaya dapat menampilkan dekorasi yang ingin diwujudkan.

Rumah dikenali sebagai Family Fruits Farm setinggi tiga tingkat itu dihias dengan elemen klasik pada setiap sudut bermula dari ruang tamu, bilik tidur, bilik air, dapur sehingga ke bahagian kaki lima dan beranda.

Mengimbas usahanya menghias rumah berkenaan supaya suasananya dapat mengembalikan semula nostalgia lama sekitar 1980-an, Richard berkata, ia bermula selepas beliau membeli dusun buah-buahan seluas lebih empat hektar pada 2012.


RICHARD

“Dusun berkenaan ditanam kira-kira 500 pokok buah-buahan seperti nangka, rambutan, durian, manggis dan pulasan. Turut terdapat sebuah rumah dua tingkat yang pernah dihuni bekas pemilik tanah.

“Memandangkan sudah mempunyai kediaman di kawasan bandar, oleh itu saya merancang menjadikan rumah dalam dusun itu sebagai tempat rehat seisi keluarga untuk bercuti.

“Saya berulang-alik setiap hujung minggu selama tiga tahun untuk mengubah suai rumah berkenaan kepada tiga tingkat. Malah, kerja pengubahsuaian juga dilakukan sendiri dengan bantuan dua adik,” katanya.

Sesuai dengan hasrat dan tujuan menghidupkan semula nostalgia terhadap kenangan lama, Richard yang juga pengumpul barangan vintaj kemudian memilih untuk mengolah koleksinya dan mengubah suai barang terpakai bagi menghias kediaman yang memiliki keluasan keseluruhan 5,000 kaki persegi.


KAKI lima ruang depan rumah ditempatkan kerusi meja buat sendiri daripada barang terpakai.

“Hampir 90 peratus barang hiasan dan perabot dalam rumah ini adalah vintaj dan terpakai. Selain mendapatkannya daripada lokasi pengumpulan barangan lama, saya juga mengutip di tepi jalan kerana banyak bahan terbuang sebenarnya boleh dimanfaatkan.

“Keunikan barang vintaj dan terpakai memang tidak boleh dinafikan kerana ia memiliki nilai estetika yang tinggi. Tetapi, melalui kreativiti yang tinggi barangan ini mampu mewujudkan dekorasi menarik pada kediaman,” katanya.

Tidak dinafikan dekorasi gaya klasik mempunyai daya tarikan sendiri, di samping mewujudkan persekitaran selesa yang akan menjadi ruang kegemaran untuk beristirahat bersama keluarga.

Ruang tamu dihiasi set kerusi daripada kayu gelap berusia hampir 30 tahun yang dilengkapi kusyen corak flora berwarna merah hati. Almari hiasan satu pintu diletakkan pada satu sudut sementara satu bahagian lagi ditempatkan televisyen lama bagi menambah elemen klasik.


RUANG tamu dengan set kerusi lama berusia hampir 30 tahun dan televisyen klasik.

Richard yang memiliki jiwa seni turut menjadikan sebahagian kecil ruang tamu sebagai tempat pameran koleksi vintaj miliknya seperti basikal tua, bagasi lama, majalah keluaran zaman dulu, mesin taip dan arca burung yang unik.

Bahagian pintu masuk tidak dibiarkan kosong apabila ditempatkan basikal posmen dari Jepun dan almari vintaj tiga pintu manakala bingkai gambar menghiasi dinding. Basikal berwarna merah itu memang menawan pandangan sebaik melangkah masuk ke dalam rumah.

Ruang makannya bersambung dengan ruang tamu, namun Richard mengasingkan kedua-dua ruangan berkenaan dengan pagar daripada buluh yang disapu varnis supaya kelihatan berkilat.


RAK kayu palet dengan hiasan tin lama dan pasu bunga menghias laluan ke dapur.

Meja makan hasil DIY daripada kayu palet dicat putih. Manakala kerusi meja makan dihasilkan menggunakan perabot lama. Bahagian dinding di ruang makan tidak dibiarkan kosong dengan menampilkan gambar berbingkai dan rak yang mempamerkan koleksi seperti lampu gasolin, radio, teko serta tumbuhan dalam pasu bagi menyuntik sedikit elemen hijau.

Dapur turut diberi elemen klasik apabila dihias dengan periuk dan bekas air lama, mangkuk tingkat serta perabot palet. Dindingnya sengaja tidak dicat bagi menampilkan ruangan seperti dapur rumah zaman dulu.

Menjengah ke bahagian bilik tidur pula, Richard memanfaatkan ruang yang luas dengan meletakkan dua katil bersaiz ‘queen’ hasil olahannya daripada kayu palet. Dua katil ini dipisahkan oleh meja daripada kayu palet yang dihias lampu terendak daripada koleksi vintajnya.

Di penjuru bilik tidur diletakkan kerusi bersayap yang berfungsi sebagai tempat membaca manakala penjuru satu lagi dimiliki meja daripada papan lapis berkaki paip PVC.


RUANG makan tampil unik dengan meja makan kayu palet buat sendiri dan hiasan dinding koleksi vintaj.

Lukisan ranting dengan bunga-bunga kecil melatari dinding di belakang katil. Richard juga bijak menutup pendawaian lampu dengan paip PVC bersaiz kecil yang disusun seperti corak geometri. Cermin muka berbingkai buluh juga menjadi perhiasan dinding yang unik.

“Lantai simen dibiarkan tidak dialas permaidani kerana saya mahu menghidupkan suasana rumah zaman dulu. Begitu juga aspek pencahayaan, saya banyak menggunakan lampu berwarna kuning hangat bagi menimbulkan suasana klasik seperti cahaya daripada lampu minyak tanah.

“Bagi setiap dinding di ruang tamu, ruang makan, malah bilik tidur diberi hiasan kerana ia juga adalah elemen penting dalam hiasan dalaman untuk menghasilkan impak rumah yang cantik.

“Saya juga menghias dinding pada tangga ke tingkat atas dengan menggantung gambar ahli keluarga dan rakaman yang diabadikan ketika bercuti ke luar negara. Semua gambar dirakam sendiri kerana saya turut meminati fotografi,” katanya.


RUANG tangga tidak dibiar kosong dengan hiasan bingkai gambar.

Katanya, setiap ruang yang diisi barangan lama bukan saja bertujuan menyorokkan kehambaran jika dibiarkan kosong, tetapi sebagai tatapan generasi muda keluarganya untuk menyingkap kenangan suatu waktu dahulu.

“Inilah yang cuba saya sampaikan, pengalaman dahulu begitu berharga untuk generasi sekarang. Saya mahu anak saya tahu inilah barangan yang pernah digunakan datuk nenek mereka dahulu.

“Saya berharap dengan mengembalikan nostalgia lama, ia memberi pengajaran kepada generasi baru supaya belajar untuk bersyukur. Setiap barangan lama sangat bernilai dan sayang andai tidak ada yang menghargai serta mewarisinya kerana ia adalah tinggalan generasi lama kita,” katanya.

Secara tidak langsung, rumah rehat keluarga milik Richard itu membawanya kembali ke zaman kanak-kanak dan mengimbau suasana di kampung halaman yang kini jarang-jarang dapat dinikmati lagi.


RUANG dapur dengan lantai simen dan tidak dicat mengembalikan nostalgia rumah lama.

“Cukup mendamaikan apabila dapat pergi jauh daripada hiruk-pikuk kota raya dan menikmati udara segar di sini. Apabila saya berehat di sini, bangun pagi dikejutkan oleh kokokan ayam pada waktu subuh disusuli bunyi kicauan burung.

“Saya turut memelihara ayam, itik dan angsa serta ikan dalam kolam bagi melengkapkan kediaman berkonsep rumah kebun. Ada masa saya dan keluarga memberi makan haiwan berkenaan dan memancing di kolam, di samping berpeluang menikmati buah-buahan yang sudah masak.

“Sekurang-kurangnya bagi anak saya yang tinggal di bandar besar, mereka akan rasa gembira dan mendapat pengalaman baharu dengan aktiviti sebegini.

“Malah, bapa, Low Kah Chon, 66, juga kerap menghabiskan masa lapangnya di rumah rehat ini kerana selain dapat menjalankan aktiviti berkebun untuk kesihatan badan, ia juga mengimbas kenangan sewaktu zaman mudanya,” katanya.


RUANG belakang rumah ditempatkan perabot barangan terpakai untuk istirahat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Ogos 2018 @ 12:55 AM