GABUNGAN konsep perindustrian dan Scandinavia.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

Tahun 1950-an antara era kemuncak industri besi dan pemprosesan kayu pain di negara Nordic seperti Denmark, Finland, Iceland, Norway dan Sweden.

Kepesatan dua industri utama di negara berkenaan membuatkan ramai buruh lebih banyak menghabiskan masa di kilang sekali gus menjadi ‘rumah’ utama mereka.

Sejajar dengan idea ‘rumah kilang’ berkenaan, wujudlah konsep industri yang menekankan aspek mudah, minimalis dan pelbagai fungsi bagi seni rekaan dalaman serta luaran.

Tema perindustrian memiliki keunikan sendiri apabila ia menyerlahkan sisi ‘dingin,’ ‘keras’ dan usang (rustik) sekali gus membuatkannya lebih elegan.

Berpegang kepada prinsip ‘back to basic’ dan pelbagai fungsi, identiti konsep dekorasi perindustrian lebih fokus pada pemilihan rona gelap seperti hitam bagi besi dan rona coklat untuk kayu.

Demi mengenali idea ‘industri’ dengan lebih dekat, penulis berpeluang berkunjung ke kediaman milik Pensyarah Kanan Jabatan Senibina, Fakuliti Rekabentuk dan Senibina, Universiti Putra Malaysia Dr Mohd Zairul Mohd Noor yang menghasilkan seni rekaan dalaman dan landskap berkonsepkan perindustrian ini, Khamis lalu.

Sebaik tiba, di kawasan kediamannya, pagar batu sungai pelbagai saiz dengan warna asli yang memenuhi rangka besi antara elemen pertama mencuri tumpuan.

Mencipta kelainan di pintu masuk utama, Mohd Zairul berkata pemilihan pagar diperbuat daripada besi bercat kelabu yang bermotif berlian memainkan dua fungsi, sebagai tarikan mata dan keselamatan kerana material ‘diamond wire mesh’ menyukarkan pencerobohan jenayah.


KONSEP perindustrian masih baru bagi rumah kediaman di Malaysia.

“Saya tertarik dengan konsep industri ini ketika melanjutkan pelajaran di Belanda dan berpeluang berkunjung ke beberapa negara Nordik.

“Berbanding dengan gaya hiasan dalaman lain yang mementingkan kesempurnaan atau menyembunyikan kekurangan, reka bentuk gaya perindustrian bertindak sebaliknya.

“Malah ia megah dengan ketidaksempurnaan serta simbolik meraikan keunikan kejuruteraan dan mekanikal.

“Di Malaysia, konsep industri sudah lama bermula bagi sektor komersial seperti pejabat dan kafe, namun ia masih baru bagi kediaman, kira-kira tiga tahun kebelakangan ini.

“Tapi saya yakin konsep perindustrian ini bakal menjadi ikutan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

“Selain itu, rakyat Malaysia sedang ‘mengenali’ konsep ini dan sukar untuk mereka menerima dekorasi perindustrian secara keseluruhan.

“Oleh itu, saya mengambil pendekatan seni hiasan dalaman dan luaran kediaman peribadi yang menggabungkan konsep perindustrian dan Scandinavia.

“Walaupun konsep industri nampak ‘raw’ (mentah) dan kasar, menariknya ia mementingkan idea dwifungsi. Umpamanya, saya menonjolkan taman menegak yang menjadikan jeriji sebagai elemen utama dan fungsi lainnya sebagai keselamatan pada tingkap.

“Jeriji ini bukan saja langkah berjaga-jaga, bahkan kita boleh memanfaatkan reka bentuknya dengan bungaan menjalar yang memenuhi fungsi taman menegak.

“Gabungan ‘hardscape’ (merujuk kepada elemen besi) dan ‘softscape’ (elemen kayu dan tumbuhan) menyerlahkan keunikan dan keistimewaan konsep perindustrian,” jelasnya ketika ditemui.

Selain taman menegak, landskap taman milik Mohd Zairul turut disempurnakan dengan meja kayu ‘usang’, buaian berantaikan besi, gantungan lampu bermotifkan loket dan barisan pokok buluh Jepun yang menghasilkan irama sebaik daunnya ditiup angin.


PILIHAN lampu ‘loket’ serlah konsep perindustrian.

Ruang dalaman

Sentuhan kombinasi konsep perindustrian dan Scandinavia sempurna!

Itu yang bermain di minda penulis sebaik melangkah masuk ke kediaman semi-D berkeluasan 2,200 kaki persegi yang memiliki tujuh bilik selepas melalui proses pengubahsuaian dua bulan lalu ini.

Bagi Dr Mohd Zairul, rumah adalah manifesto personaliti individu dan sentuhan dekorasi diibaratkan cerminan kehidupan pemilik. Bagi menguatkan lagi imbasan peribadinya, beliau memberi suntikan industri utama pada dinding ruang anjung.

Menepati konsep industri dengan salutan dinding (cladding wall) bertemakan batu-bata, gabungan rona merah bata, rak besi hitam serta limpahan cahaya lampu putih hangat (warm light) mencuri tumpuan.


PILIH kemasan lantai berbeza untuk membahagikan ruang.

Selain itu, bagi membezakan setiap ruangan Mohd Zairul memilih kemasan lantai berkayu bagi ruang anjung sekali gus membahagikan dua seksyen antara anjung dan ruang tamu.

“Ramai antara pemilik rumah mengamalkan kaedah pembahagian ruang dengan menggunakan rak atau pembahagi kayu. Teknik ini akan membuatkan ruangan menjadi lebih sempit dan menyukarkan proses pembersihan.

“Sebenarnya kita boleh membahagikan setiap ruangan berbeza dengan kaedah menggunakan kemasan lantai atau siling berlainan. Selain nampak lebih cantik, ia juga menjimatkan ruang.


TARIKAN utama di ruang anjung.

“Tidak salah sekiranya kita hendak menggunakan rak atau pembahagi ruang, tetapi saya menyarankan pemilihan material berkaca lutsinar kerana ia tidak menghalang pandangan dan membuatkan rumah lebih luas.

“Seperti ruang makan, saya turut memasang cermin besar pada dinding untuk memberi ilusi ruangan lebih luas di bahagian yang sempit ini.

“Tambahan pula, kita memilih meja makan berbentuk potongan asal kayu ‘African Mahogany’ yang agak besar demi merealisasikan konsep ‘industrial’.


BILIK televisyen khas.

“Bagi ruang tamu, idea isteri adalah mencipta suasana ‘funky’ (gila-gila) dan santai. Jadi kita menggabungkan tiga jenis perabot dan warna yang lebih terang seperti biru kehijauan, jingga dan merah jambu,” jelasnya yang turut menyediakan bilik televisyen berasingan.

Menginjak ke ruang peribadi sekeluarga, ruang dapur, idea dilaksanakan Dr Mohd Zairul adalah pembahagian ruang dengan meletakkan meja makan dan dapur pada kedudukan ‘pulau’ (island kitchen) yang menjadi kebiasaan di luar negara.


MENGGUNAKAN konsep ‘dapur pulau’.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Julai 2018 @ 5:49 AM