MENGGUNAKAN bata dan tiang daripada plastik terpakai.
Susunan Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

Seperti permainan Lego yang saling bercantum, inovasi plastik kitar semula dijadikan tiang dan bata yang dicetuskan Fernando Llanos serta Oscar Mendez pada 2011, membuatkan proses pembinaan seunit rumah dapat disempurnakan dalam tempoh lima hari.

Idea menghasilkan rumah plastik tercetus apabila Fernando berdepan kesukaran membina kediaman sendiri di Cundinamarca, Colombia dengan memindahkan bahan binaan dari Bogota, 11 tahun lalu.

Situasi rumit itu membuatkan lelaki berkenaan membuat keputusan membina rumah impian barunya menggunakan material plastik.

Namun beberapa percubaan Fernando gagal sebelum beliau bertemu arkitek Oscar, yang sedang menghasilkan tesis berkaitan subjek sama.

Akhirnya kedua-duanya bergabung menubuhkan syarikat Conceptos Plasticos apabila berjaya menghasilkan produk inovasi yang turut dipatenkan itu.

SEUNIT rumah plastik kitar semula boleh disiapkan dalam tempoh lima hari.

Menekankan konsep hijau, material digunakan bagi menghasilkan bata dan tiang ini diperbuat daripada plastik terbuang.

Lebih menarik, ketahanan bahan binaan inovatif ini dijangka dalam tempoh yang lama apabila kualitinya merosot kira-kira 300 tahun.

Oscar tidak menafikan penggunaan plastik baru jauh lebih mudah kerana parameternya sudah ditentukan, namun wujudnya keseronokan apabila ‘bekerja’ dengan plastik kitar semula kerana ia memerlukan banyak eksperimen.

Setiap hari, syarikat ini menerima bahan mentah daripada beberapa syarikat kitar semula dan kilang terkenal yang membuang bahan terpakai berkenaan.

Menerusi teknik ‘penyemperitan’ (extrusion), bahan kitar semula ini akan cair dan memenuhi ruangan acuan menghasilkan bahan binaan inovatif ini sekali gus menghasilkan bata seberat tiga kilogram seperti kapasiti tanah liat.

Selain itu, material ini juga memiliki ciri-ciri tahan gempa bumi dan ‘thermoacoustic’ (interaksi antara suhu, ketumpatan dan variasi tekanan gelombang akustik) bersesuaian dengan standard Colombia, dengan mengambil kira tahap aktiviti seismik (gempa) di negara berkenaan.

TEMPAT perlindungan bagi 42 keluarga.

Berjaya membina seunit rumah berukuran 40 meter persegi pada kos sebanyak COP 20 juta (kira-kira RM28,400) dalam tempoh lima hari dengan tenaga kerja empat orang, kediaman ini turut dilengkapi dua bilik tidur, ruang tamu, ruang makan, bilik mandi dan dapur.

Tertarik dengan idea segar ini, syarikat kecil ini turut berjaya memenangi tender membina tempat perlindungan sementara untuk 42 keluarga pelarian di Guapi, Colombia daripada Norwegian Refugee Council (NRC).

Pasukan ini berjaya menyelesaikan projek berkenaan dalam tempoh 28 hari bersama 15 tenaga kerja dengan menggunakan lebih 200 tan plastik kitar semula.

Kagum dengan hasil kerja Conceptos Plasticos, pihak NRC menyifatkan tempat perlindungan berkenaan mempunyai reka bentuk terbaik bersesuaian dengan keperluan mobiliti dan keadaan cuaca, teknik pengudaraan serta pencahayaan bagi musim panas.

Projek komuniti ini juga dilengkapi dengan bekalan elektrik, fasiliti tandas dan tiga dapur bagi keperluan keluarga terbabit.

KUALITI bahan plastik dijangka merosot selepas 300 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Julai 2018 @ 5:39 AM