PENGGUNAAN kayu pada dinding membuatkan ia tampak serasi dengan latar taman.
STUDIO di dalam taman kediaman.
Susunan Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Firma seni bina dari Belanda, Open Kaart melakukan transformasi membabitkan bangsal lama yang dibina menggunakan batu bata menjadi galeri lukisan berdindingkan kayu.

Pengubahsuaian bangsal lama yang terletak di bandar Woerden Rotterham, Belanda itu adalah amalan biasa selepas pemilik rumah selesai melakukan kerja pe­ngubahsuaian di kediaman utama dan taman mereka.

Bagi projek itu pula, pemilik mahukan ruang untuk bengkel lukisan yang juga sebahagian daripada perkhidmatan perniagaan mereka. Bagi membolehkan studio berkenaan mendapat pencahayaan yang baik, ruang penyimpanan pada bangunan asal dikekalkan.

Berkenaan bangunan lama itu pula, sebahagian struktur bata kecil terbabit tidak ditebat dan mempunyai asas selain masalah bumbung bocor.

Bagaimanapun, arkitek Pieter Graaff memilih untuk memelihara dan menggabungkan bahagian terbabit dalam bangunan baru itu.

“Pembinaan pada struktur sedia ada membuatkan rekaan studio turut dilengkapi dengan loteng yang direalisasikan dalam bajet yang terhad.

“Menerusi perincian sofistikated, permintaan tempatan konservatif dapat disepadukan dengan keinginan rekaan lebih elegan pada rekaan bangsal lama terbabit,” katanya.

Tiga tiang bata asal dikekalkan untuk mengurangkan kos. Ruang tambahan yang baru dibina sekitar tiang itu juga menempatkan kayu me­manjang ke atas dan ke luar daripada struktur bata terbabit.

Sebahagian kerja pertukangan batu dipelihara bagi memperlihatkan kombinasi antara rekaan lama dan baru. Sementara itu penggunaan papan dan bilah kayu pada struktur studio terbabit memberi kedalaman serta kesinambungan untuk keseluruhan rekaan.

Pada masa sama ia memberi kelainan kepada permukaan kayu seragam dengan pintu dan tingkap gelungsur berbingkai hitam yang mempunyai fungsi dalam memastikan ruang studio serta loteng menerima pencahayaan mencukupi ketika siang selain pengudaraan semula jadi.

Rekaan dalaman studio yang ringkas sepadan dengan panel papan lapis digabungkan pada susunan lampu, rel gantungan lukisan serta radiator infra merah.

Tidak ketinggalan sistem pemanas elektrik dalam lantai diwujudkan dan fasiliti elektrik diketengahkan memastikan bangunan boleh beroperasi secara mampan.

Bumbung curam besar dipanjangkan bagi menempatkan satu ruang yang boleh digunakan untuk simpanan atau ruang istirahat bersaiz kompak.

Ia sekali gus membolehkan tetamu menikmati pemandangan kanopi pokok berhampiran. Bangunan itu boleh diperluaskan dan turut berupaya menampung sebuah bilik mandi atau pangsapuri studio.

Sebenarnya studio seperti itu sering dibina dalam taman kediaman di seluruh dunia. Di Lillehammer, Norway, Jon Danielsen Aarhus mereka bentuk sebuah pondok buat menampung hobi pasangan yang baru bersara.

Sementara di London pula, Eckford Chong menambah studio taman kayu digabungkan dengan

sebuah rumah yang diperbaharuinya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Julai 2018 @ 11:28 AM