SEIRING zaman perkembangan seni bina turut berubah kepada rekaan kontemporari.
Susunan Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


Masjid adalah seni bina yang sangat sinonim dengan masyarakat Islam. Ia bukan saja mercu tanda dalam penempatan Islam malah turut menjadi simbol syiar yang sangat penting dalam kehidupan umat Islam sendiri.

Biasa mempunyai dewan yang luas, bertiang dan secara am seni binanya dikaitkan dengan rekaan tradisional iaitu kubah berbentuk bulat serta menara.

Namun, perkembangan seni bina turut berubah kepada rekaan kontemporari dan binaan masjid moden.

Di seluruh dunia, arkitek dan pereka kini membina masjid berlatarkan seni bina yang boleh diterjemahkan kepada rekaan moden.

Berikut beberapa reka bentuk masjid moden sama ada yang sudah siap, dalam pembinaan dan rekaan untuk cadangan:

1. Masjid Camlica, Istanbul, Turki

Direka Tuncer Cakmakli Architects, masjid ini menggabungkan seni bina dan landskap dan meletakkan alam sekitar sebagai nadi projek.

Dinding hijau dengan rimbunan bunga seperti mawar dan melur menghiasi dewan bagi menimbulkan sensasi perhimpunan ummah dalam taman.

2. Masjid Besar Cologne, Jerman

Siap dibina tahun lalu dan direka Paul Bohm iaitu seorang arkitek gereja.

Masjid ini mempunyai kubah kaca dan dua menara dibina dengan gaya seni bina Ottoman.

Selain ruang solat, perpustakaan berada di tingkat atas, sementara tingkat bawah menempatkan bazar dan dewan kuliah.

Satu kolam diletakkan di tengah-tengah masjid bagi menghubungkan dua aras, selain mencipta atmosfera selesa.

3. Masjid Al Ansar, Singapura

Direka FARM Architects dan ia antara usaha menaik taraf masjid lama yang dimakan usia.

Rekaan utamanya untuk menaik taraf akses dan hubungan masjid itu dengan persekitaran termasuk menambah ruang terbuka secara visual serta fizikal.

4. Masjid Besar Pristina, Kosovo

Direka arkitek Itali, Paolo Venturella untuk pertandingan rekaan masjid di republik berkenaan.

Ideanya untuk menggabungkan dua elemen utama masjid iaitu dinding kiblat dan kubah.

Malah, ia menawarkan masjid pertama menggunakan kuasa tenaga solar.

5. Masjid Rijeka, Croatia

Asalnya model mini masjid ini dihasilkan pengukir abstrak tempatan terkenal, Dusan Dzamonja.

Rekaan itu kemudiannya diperhalusi dua arkitek, Darko Vlahovic dan Branko Vucinovic.

Kubah masjid mempunyai lima bahagian yang secara visual membentuk objek tunggal.

Pada masa sama kubah itu sarat dengan tradisi Ottoman dan bangunan keseluruhannya turut berlatarkan bentuk asas geometrik.

6. Masjid Besar Copenhagen, Denmark

Direka syarikat arkitek tempatan Bjarke Ingels Group (BIG) dengan rekaan berunsur tradisi Scandinavia moden dan diinspirasikan seni bina Islam.

Binaan tengah yang berpusing mirip kubah tradisional dengan dua menara.

Siri lampu segi tiga dalam binaan tengah membenarkan kawalan cahaya masuk ke dalam masjid dan ini membentuk bangunan seakan tanglung gergasi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Jun 2018 @ 4:14 AM