KOMBINASI hitam putih dan pastel biru.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

Warna biru rona lembut pada dinding luar kediaman dua tingkat di Bukit Mahkota, Bangi, Selangor mengundang suasana mendamaikan buat mereka yang memandangnya, apatah lagi penghuninya.

Ditambah dengan landskap ringkas di sisi rumah berkenaan menunjukkan ketelitian pemiliknya. Ruang laman itu diberi sentuhan menarik supaya lebih nampak semula jadi.

Sebaik melangkah ke ruang dalaman pula, penulis dan jurufoto terpegun dengan susun atur dekorasinya terutama penggunaan perabot yang unik.

Menerusi konsep dapur terbuka, gabungan idea minimalis dan industri antara kecenderungan utama pemiliknya untuk ruang itu dan ruang lain di kediaman berkenaan.

Tidak keterlaluan rasanya untuk mengatakan teratak pasangan Hisyam Samad dan isteri, Nurrul Hafeezah Sahak bersama tiga anak itu memberi pengalaman seolah-olah suasana berada dalam ruang kediaman di luar negara.

Kata Hisyam, disebabkan gemar melancong selain pernah menginap di luar negara ketika menemani isterinya menyambung pengajian di Australia membuatkan dia terdedah dengan konsep kediaman sedemikian.


RUANG tamu menjadi tempat bersantai buat keluarga Hisyam.

“Saya menyukai konsep kediaman di luar negara terutama sekali rekaan studio atau apartmen di Manhattan, Amerika Syarikat kerana memberi perspektif bergaya, minimalis, kontemporari dan moden.

“Biasanya rumah yang terdapat di kota metropolitan luar negara menampilkan ruang terbuka iaitu tiada sempadan konkrit antara ruang dapur atau tamu kerana ia lebih fleksibel terutama dari segi fungsi dan penjagaannya.

“Meskipun menyedari idea berkenaan mungkin menerima kritikan keluarga kerana dapur terbuka bukanlah sesuatu yang biasa dalam budaya kita, bagi saya dan isteri, kami lebih suka dengan konsep sebegini,” katanya.


RUANG dandanan kecil berhampiran pintu utama.

Hanya bersandarkan binaan kaunter meja berbentuk L sebagai pembahagi ruang, ruang utama tingkat bawah ternyata tampak lebih luas, apatah lagi penggunaan pintu cermin tiga panel sebagai laluan masuk utama.

Antara ruang kabinet atas dan bawah terselit ciri industri pada dinding dapur berkenaan apabila menampilkan tekstur batu bata yang timbul.


RUANG dapur terbuka.

Selain dapur, ruang kegemaran Hisyam ialah bilik air di kamar utama yang menggunakan konsep seperti di hotel.

“Ruang terapi saya ialah bilik air kerana secara peribadi ideanya untuk mencipta ‘mood’ lebih relaks seperti kamar mandi yang terdapat di hotel. Kalau dilihat daripada singki hinggalah kepada perincian lantai, rasanya sedikit elegan berbanding kediaman biasa,” katanya.

Hafeezah pula berkata, dia tidak ketinggalan menyumbangkan idea terhadap dekorasi kediamannya terutama dalam pemilihan perabot.


MARMAR bermotif pada lantai bilik air utama.

“Mujurlah cita rasa saya dan suami sealiran iaitu sukakan gaya minimalis, jadi kami membuat pembelian perabot berdasarkan konsep ringkas serta praktikal buat anak-anak yang masih kecil.

“Saya pilih hitam putih untuk tema warna utama, kemudian diseimbangkan dengan warna pastel biru untuk perabot tertentu supaya tidak terlalu kontra selain senada dengan dinding luar dan perincian dinding ruang tamu,” katanya.

Tambah Haffeza, perubahan lain dilakukan ialah adanya ruang dobi dan ampaian bagi membolehkan dia melakukan kerja rumah meskipun ketika musim hujan.


SUSUN atur bilik tidur yang kemas.

“Ketika pengubah-suaian rumah, saya membuat permintaan inginkan ruang dobi dan ampaian. Biasanya rumah di luar negara mereka mempunyai ruang khusus untuk keperluan mencuci baju.

“Rasanya tidak salah kalau ada ruang kecil diperuntukkan untuk ruang kerja berkenaan selain jemuran separa terbuka memudahkan rutin harian saya menguruskan rumah tanpa bantuan pembantu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mei 2018 @ 8:59 AM