Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


Di bawah Pelan Induk Teknologi Hijau Malaysia 2017-2030, komitmen kerajaan terhadap Perjanjian Paris 2015 adalah untuk mencapai pengurangan hingga 45 peratus intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030 berbanding paras pada 2005.

Bagi memenuhi permintaan sedemikian, rangkaian restoran makanan segera McDonald’s Malaysia membulatkan komitmennya terhadap usaha kelestarian jangka panjang dengan melancarkan beberapa inisiatif untuk mengurangkan jejak karbon sebagai sebahagian daripada strategi global Skala Demi Kebaikan syarikat berkenaan.

Di Malaysia, 124 restoran makanan segera berkenaan sudah melaksanakan sekurang-kurangnya satu inisiatif hijau yang diperuntukkan syarikat dalam usaha memenuhi komitmen untuk mengurangkan GHG negara ini.

Restoran di Setia Alam (Shah Alam, Selangor) adalah yang terbaru yang dilengkapi dengan penyelesaian teknologi hijau seperti bumbung fotovolta suria, lampu diod pemancar cahaya (LED) dalaman, pemanas air haba suria, sistem pengumpulan air hujan, termostat pintar dan sistem penyaman udara hibrid.


LANDSKAP hijau pada dinding bangunan membantu mengurangkan karbon dioksida.

Restoran makanan segera itu juga mengambil langkah penting penggunaan bahan api biodiesel sebagai bahan api alternatif dalam rangkaian trak penghantaran yang dikendalikan penyedia perkhidmatan logistik dilantik iaitu Martin Brower.

Bagi tujuan ini, Tangki Pintar dipasang di restoran untuk mengumpulkan minyak masak terpakai yang kemudian akan diproses menjadi biodiesel oleh FatHopes Energy.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia Azmir Jaafar berkata, pihaknya juga komited kepada usaha kelestarian lain sebagai sebahagian daripada strategi Skala Demi Kebaikan termasuk pengurusan sisa, pengurusan bekalan dan penggunaan air, inisiatif pembungkusan dan kitar semula, di samping proses pemerolehan bertanggungjawab.


RESTORAN memasang Tangki Pintar yang digunakan untuk penghasilan biodiesel.

Umpamanya di bawah inisiatif pembungkusan dan kitar semula, pihaknya berjaya menghapuskan penggunaan pembungkusan yang diperbuat daripada busa di semua restoran sejak tiga tahun lalu.

“Malah, semua restoran juga mengurangkan dengan ketara penggunaan beg plastik dan penutup plastik kira-kira 43 juta keping setahun yang bersamaan 50,000 kilogram (kg) bahan plastik.

“Tambah lagi, semua pembungkusan kertas pelanggan yang sedia ada digunakan di restoran dibuat 100 peratus daripada bahan serat boleh kitar semula,” katanya, baru-baru ini.


PEMANAS air haba suria menyerap haba daripada matahari untuk meningkatkan suhu air mengurangkan penggunaan elektrik.

Katanya, dari segi kaedah pemerolehan bertanggungjawab pula pihaknya komited menggunakan minyak sawit disahkan Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Lestari (RSPO).

Bekalan makanan lain seperti biji kopi juga dibeli mengikut garis panduan ketat dan prinsip yang setanding dengan kriteria RSPO. Selain itu, ikan yang digunakan dalam burger Filet-o-Fish diperoleh dari sumber yang disahkan Marine Stewardship Council.


BUMBUNG Fotovolta Suria (Solar PV) berfungsi dengan menukarkan tenaga suria kepada tenaga elektrik.

“Sebagai syarikat dan jenama dengan jejak global yang luas, kami bertanggungjawab untuk menambah baik kehidupan insan sejagat dan alam sekitar. Kami mahu menggunakan strategi Skala Demi Kebaikan kami untuk mencapai objektif ini dan akan terus menggiatkan usaha menzahirkan maksud menjadi sebuah syarikat bertanggungjawab yang komited kepada insan dan planet.

“Bagi membuktikan komitmen kami, restoran pandu lalu di Setia Alam berjaya mengurangkan penggunaan bekalan kuasa keseluruhan sebanyak 25 peratus yang bersamaan pengurangan pelepasan 12,699 kilogram karbon dioksida sebulan,” katanya.

Azmir berkata, inisiatif berterusan di Malaysia sejajar dengan wawasan global syarikat ini untuk membawa kesan positif kepada komuniti, masyarakat dan bumi dengan menggunakan strategi Skala Demi Kebaikan yang juga pendekatan global McDonald’s terhadap kelestarian.


TEKNOLOGI Capture Jet digunakan pada penggoreng untuk singkir haba buangan, asap dan wasap berminyak dalam proses menggoreng serta menggril.

Inisiatif dan ciri kelestarian hijau diketengahkan

1. Sistem Bumbung Bersepadu dengan Fotovolta Suria

2. Pemanas air haba suria

3. Sistem pengumpulan air hujan

4. Pemancur jenis sembur

5. Lampu LED

6. Capture Jet dan Pengimbangan Udara Restoran

7. Sistem ‘Heating, Ventilation & Air Conditioning’ (HVAC)

8. Sistem Penyaman Udara Hibrid

9. Pertukaran Minyak Masak Terpakai Kepada Bio-diesel

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 April 2018 @ 7:27 AM