BUNGA bulan.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Bunga bulan dikatakan mendapat nama itu kerana ia mula mekar saat matahari terbenam dan kembang sepenuhnya pada waktu malam di bawah cahaya bulan.

Lazimnya, bunga dengan nama botaninya ipomoea ini berwarna merah jambu atau putih kekal berkembang sepanjang malam.

Ia akan menguncup kembali sebaik cahaya matahari terkena kelopaknya.

Pokok bunga bulan mempunyai ketinggian hingga 4.5 meter dan membiak sendiri menerusi biji benih.

Malah bunga ini juga antara tumbuhan romantik yang sesuai ditanam di taman kediaman anda.

Bunganya yang besar dan berbentuk loceng dengan saiz 15 sentimeter (sm) panjang dan tujuh hingga 15 sm lebar mengeluarkan bauan seperti buah lemon.


BUNGA bulan yang mekar hanya pada waktu malam.

Namun, pokoknya yang berduri lembut asalnya tumbuh secara semula jadi seperti di kawasan semak.

Pembiakannya perlu dikawal supaya ia tidak ‘mengambil alih’ keseluruhan taman anda.

Hati-hati mengendalikan pokok bunga jenis tropika ini kerana walaupun indah dipandang, namun beracun terutama biji benihnya.

Jauhkan dari kanak-kanak dan haiwan peliharaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 8:16 AM