BINAAN struktur untuk taman akuaponik dihasilkan sendiri oleh Karim.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

Deretan bekas plastik memenuhi sisi kiri kediaman dua tingkat milik Abdul Karim Sainuddin dan isterinya, Mawati Sholinah Ahmad Nurihi di Taman Batu Caves berjaya mencuri perhatian penulis untuk mengintai kandungannya.

Bekas plastik jenis gentian kaca bersaiz besar digunakan sebagai kolam kecil bagi ternakan tiga spesies ikan iaitu tilapia, siakap hibrid dan juga baka dari Australia. Sementara bekas plastik kecil digunakan bagi tujuan penanaman sayur-sayuran.

Bagi mereka yang tidak asing dengan kaedah hidroponik, taman mini diusahakan Karim bersama isterinya itu ialah satu lagi peningkatan tahap dalam kaedah penanaman yang sesuai dilakukan bagi pemilik kediaman di bandar iaitu akuaponik.

Akuaponik ialah kombinasi antara ternakan ikan bersama tanaman menggunakan medium air. Kedua-dua ini mengaplikasikan sistem simbosis iaitu ikan dan tumbuhan saling bergantung untuk terus hidup. Tanaman menggunakan sisa buangan ikan sebagai baja bagi tanaman manakala tanaman pula bertindak sebagai penapis semula jadi membersihkan air.

IKAN dalam tangki air juga boleh tahan lama.

Malah taman akuaponik Karim ini mampu menampung bekalan sayur-sayuran dan juga ikan sekurang-kurangnya enam bulan sebelum tanaman lain dimulakan. Selain dapat memberi pemandangan malar hijau untuk ruang kediaman, ia berfungsi sebagai sumber makanan organik untuk keluarganya.

Bagi Karim, dia mula mengenali akuaponik berkenaan menerusi Facebook (FB) dan sejak itu dia belajar mengenainya menerusi laman sosial itu dan medium lain seperti YouTube.

“Sebenarnya saya bermula sejak Jun 2016 lagi apabila bertemu penanam akuaponik dari Bangi dan penerangan yang beliau berikan menarik perhatian saya. Sejak itu saya sering bertanya menerusi mesej FB dan sehinggalah ke kediaman beliau untuk melihat projeknya.

“Lama-kelamaan saya mulalah membeli peralatan asas termasuk medium utama sistem ini iaitu ‘leka’ atau tanah liat dibakar, tanaman serta barang lain seperti paip, pam udara dan air membolehkan saya menyiapkan projek pertama.

TERAPI buat Karim dan Atie ketika waktu lapang.

“Ketika itu ikan yang saya bela hanyalah ikan keli dan memilih untuk menanam kacang panjang, bayam dan timun. Lepas dua bulan saya lihat tumbuhan makin subur sehinggalah sedia dipetik kemudian ikan keli sudah boleh dituai enam bulan kemudiannya. Perasaan seronok mula timbul dan sehinggalah hari ini saya sudah ada dua tiga projek termasuk tangki paling besar yang mampu memuatkan sehingga lebih 100 ikan.

“Projek pertama saya terpaksa keluarkan bajet RM900 hingga ke RM1,000 bagi membeli barang termasuk bekas gentian kaca kerana ia tahan lasak. Selain itu kos yang tinggi untuk membeli ‘leka’ kerana untuk pek satu kilogram berharga RM80.

POKOK pandan boleh memberi rona wangi pada ruang berkenaan.

“Disebabkan pasu pertama saya bersaiz besar, saya menggunakan enam pek bagi dua bekas tanaman. Sebenarnya untuk pasu besar seperti saiz berkenaan sesuai untuk sayuran berbuah seperti terung, timun mahupun tomato.

“Apabila sudah mahir dengan kaedah ini, saya buat projek lebih besar di balkoni tingkat atas dengan kos mencecah RM3,000 yang mempunyai lebih 50 jenis tanaman serta sayuran untuk isi rumah. Penggunaan ‘leka’ juga kurang kerana saiz pasu lebih kecil untuk tanaman sayuran berdaun,” katanya kini membangunkan projek akuaponik menegak.

Turut berkongsi ilmu dan pengalaman dengan rakan komuniti akuaponik Malaysia lain, kata Karim, dia teruja apabila ada antara kenalan bertindak menempah sistem akuaponiknya.

“Paling jauh pernah saya pergi ialah ke Terengganu atas permintaan kenalan meminta agar saya siapkan sistem akuaponik di kediamannya. Biasanya caj sekitar RM2,000 hingga RM3,000 bergantung pada keluasan kediaman dan saiz projek.

“Pengurusan tidak sukar asalkan air, pam dan juga medium tanaman dalam keadaan baik. Selain itu boleh juga letakkan penapis tambahan untuk air ikan supaya kualiti air jernih,” katanya.

ANTARA tanaman sayuran.

Sementara itu isterinya lebih mesra dikenali dengan Atie berkata, hobi taman akuaponik dilakukan suaminya itu banyak memberi manfaat meskipun pada awalnya memerlukan pelaburan besar.

“Saya turut membantu kerja menanam kerana ia mudah. Hendak jaga juga tidak sukar kerana air sedia ada mengalir dan membekalkan nutrien untuk tumbuhan serta tiada penggunaan racun. Jadi kaedah ini jauh lebih selamat dan menawarkan sumber makanan sihat untuk keluarga.

“Malah bagi saya dan keluarga, waktu lapang kami juga terisi dan gembira apabila dapat lihat hasil tanaman. Impak lain ialah kami sekeluarga rasa tenang melihat ikan dan pokok tersusun cantik di ruang terbuka,” katanya.

PELBAGAI tanaman sayuran boleh dinikmati dari taman mini di kediaman Karim.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Mac 2018 @ 12:52 AM