MENAMBAHKAN seri pada majlis.
Muhamad Adli Salihin Samsudin

Salam estetika kepada pembaca. Kali ini, saya teruja untuk memperkatakan mengenai dekorasi menggunakan keratan ­bunga segar. Ia biasanya didekorasikan untuk mengikut kesesuaian majlis termasuk acara rasmi, perkahwinan, sambutan perayaan dan keraian berbentuk peribadi.

Hiasan menggunakan keratan bunga segar ini boleh dipelbagaikan dekorasinya di segenap sudut lokasi keramaian yang dianjurkan sama ada di kawasan dalam mahupun luar bangunan.

Kebiasaannya, jangka masa menyiapkan hiasan bergantung kepada kecekapan pereka. Dari segi bahan, hiasan yang menggunakan keratan bunga dan daun segar diambil daripada pelbagai bahagian pada tanaman hiasan di sekeliling kita.

Bahagian seperti daun, ranting kayu, bunga dan tangkai daun paling kerap digunakan. Setiap bahagian pada tanaman hiasan itu mempunyai pelbagai karakter yang unik dari segi corak, bentuk, warna dan ada juga yang menghasilkan aroma unik.

Namun, gabungan semua elemen itu bergantung kepada tema dan idea yang sudah dipersetujui kemudian diterjemahkan kepada satu hiasan dengan visual dekorasi luar biasa.

Bagi keratan segar bahagian daun, antara tanaman hiasan yang banyak digunakan adalah pokok juang-juang (Cordyline spp), Dracaena fragrans, Song of India (Dracaena reflexa), Monstera deliciosa, Asplenium nidus dan daun pakis (Davalia denticulata).

Sementara bahagian keratan bunga segar pula, antara pokok hiasan yang biasa digunakan adalah marigold (Tagetes erecta), bunga matahari (Helianthus annuus), bunga Bird of Paradise (Strelitzia reginae), bunga harum sundal malam (Polianthes tuberosa), bunga daisi (Gerbera spp), orkid Gower Ramsey (Oncidium spp), bunga kekwa (Chrysanthemum spp).


GUBAHAN luar biasa menarik perhatian tetamu.

Begitu juga dengan keratan batang pula, pokok ekor kucing (Typha latifolia) paling kerap digunakan kerana bentuknya yang menarik. Kombinasi keratan tanaman hiasan segar daripada pelbagai bahagian tanaman itu dapat menghasilkan satu penataan menarik dan mempunyai nilai estetika tersendiri.

Semua keratan yang ingin digunakan perlu direndam terlebih dulu untuk memastikan kesegaran pada keratan berkenaan terus kekal bagi mengelakkan ia layu. Setiap keratan itu juga perlu diletakkan pada span flora yang biasa boleh didapati di kedai menjual barangan gubahan bunga-bungaan.

Rendam span itu terlebih dulu dalam 30 minit hingga satu jam supaya ia membekalkan air kepada keratan tanaman yang digunakan untuk membantu mengekalkan kesegaran keratan itu.

Kaedah untuk menyusun atau menggubah keratan itu mestilah dilakukan dengan teratur dan teliti bagi menghasilkan corak serta susun atur yang diinginkan. Gunakan peralatan gubahan sesuai dan bahagian tanaman dipotong serong bagi memudahkan tanaman ia digubah, kekal kukuh, tidak mudah tercabut, tumbang atau senget.

Apabila gubahan sudah disiapkan, lakukan semburan kecil atau halus pada keseluruhan hiasan itu. Elemen kebersihan dan kekemasan antara perkara yang perlu dititik beratkan. Manfaatkan setiap keratan yang tidak digunakan untuk dijadikan kompos. Selamat mencuba!

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Mac 2018 @ 12:29 AM