BUNGA matahari berupaya menambahkan visual keindahan taman.
Muhamad Adli Salihin Samsudin

Salam estetika kepada semua. Minggu ini saya membicarakan berkenaan bunga matahari atau nama botaninya Helianthus annuus. Gabungan nama itu terhasil daripada bahasa Greek iaitu ‘helios’ yang membawa maksud matahari dan ‘anthos’ yang membawa maksud bunga. Terdiri daripada famili Asteraceae, pertumbuhannya juga sangat unik kerana hanya menghasilkan satu bunga untuk satu pokok.

Dari segi morfologinya, ia mempunyai daun lebar dan berselang-seli kedudukannya pada tangkai yang menegak. Ia mempunyai kelopak bunga yang berbentuk tirus di hujungnya dan berwarna kuning cerah selain mengelilingi cakera berbentuk bulat. Ia boleh mencapai ketinggian antara dua hingga lima meter. Namun, karakter bunganya yang menghasilkan warna kuning menyerupai matahari itu, dilihat dapat memberikan impak berbeza pada taman dari segi visual.

MENARIKNYA, bunga ini mempunyai daun lebar dan berselang-seli kedudukannya pada tangkai yang menegak.

Malah bunga yang dikatakan berasal dari Amerika Utara ini boleh dipelbagaikan kaedah penanaman sama ada ditanam di dalam pasu atau terus di tanah. Pada masa sama tanaman ini juga menarik dijadikan sebagai pagaran atau sempadan taman. Pada masa sama boleh digabungkan dengan pelbagai jenis tanaman hiasan lain bagi meningkatkan elemen estetikanya. Bunga matahari juga memerlukan kawasan yang menerima cahaya matahari yang terus dan penuh untuk kekal subur. Kitaran hidupnya pula kurang dari setahun jika ditanam di negara kita. Namun di kawasan tanah tinggi yang mempunyai suhu agak rendah, kitaran hidupnya juga lebih lama berbanding di tanah rendah iaitu kebiasaannya menghasilkan suhu tinggi.

TANAMAN ini boleh mencapai ketinggian antara dua hingga lima meter.

Selain ditanam sebagai salah satu elemen hiasan pada taman, bunga ini juga boleh dimakan. Ia perlu diproses terlebih dulu untuk dijadikan minyak masak dan bijinya sebagai kuaci. Malah ia turut menjadi makanan haiwan ternakan dan dikatakan mempunyai nilai perubatan terutama dalam membantu menyembuhkan penyakit seperti melegakan cirit-birit dan sakit kepala. Jika keseluruhan pokoknya yang sudah layu, ia boleh diracik halus dijadikan kompos bagi memperbaiki struktur dan kesuburan tanah.

Bagi memastikan pokok ini kekal menghasilkan bunga menarik dan subur, ia hendaklah disiram secara konsisten kerana memerlukan banyak air. Pembajaan, kawalan serangga perosak dan penyakit juga penting bagi memastikan tanaman ini menawarkan keindahan semula jadi di taman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Mac 2018 @ 7:41 AM