LOG
Susunan Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


Setiap kediaman mempunyai gaya seni bina tersendiri yang diinspirasikan mengikut budaya atau iklim sesuatu tempat.

Terdapat gaya rumah dengan rekaan ringkas, namun ada juga yang menekankan ciri-ciri rumit.

Setiap seni bina rumah mempunyai sejarah menarik. Bagi mereka yang ingin membina sendiri rumah idaman mungkin boleh mendapat ilham daripada beberapa gaya seni bina rumah dari Amerika Syarikat ini.

1. Log

Rumah log berasal daripada kabin kecil yang dibina sekitar 1600-an. Asalnya, ia dibina sebagai satu bilik kecil tanpa paku. Kini ia berfungsi sebagai kediaman penuh dan luas selain dijadikan kediaman percutian mewah. Rumah log boleh dibina di mana-mana lokasi, namun banyak ditemui di kawasan luar bandar. Bagaimanapun, iklim kawasan sekitarnya menentukan jenis kayu yang perlu digunakan untuk membina rumah bagi memastikan ketahanannya.

2. Cape Cod

Rumah Cape Cod yang pertama dibina sekitar 1600-an dan diinspirasikan daripada rumah kotej jerami dari Britain. Namun, Cape Cod dibina dengan bumbung yang lebih curam dan cerobong atau serombong asap yang lebih besar untuk persediaan musim sejuk. Tingkapnya pula rapat dengan pintu, sementara bumbung yang bertingkap pula antara ciri unik kediaman itu. Malah Cape Cod banyak dijadikan inspirasi kepada projek perumahan kos sederhana.


CAPE Cod

3. Craftsman

Kediaman gaya Craftsman dibina seiring pergerakan seni dan kraf. Rekaannya menekankan pada bahan semula jadi seperti kayu, batu dan bata. Teres hadapan luas dan bumbung yang rendah adalah tipikal kepada seni bina itu. Pelan rekaan dalaman lantai terbuka diserikan dengan perabot binaan dalam dan pendiang api yang besar.


CRAFTSMAN

4. Kontemporari

Ada yang mendakwa seni bina kontemporari dan moden adalah sama. Bagaimanapun, kontemporari merujuk kepada gaya bangunan hari ini yang berbeza dalam rekaan dan penampilannya. Kedua-duanya mempunyai persamaan dari segi penampilan luar dan dalaman, namun kontemporari lebih menekankan kecekapan tenaga, material mampan, pencahayaan semula jadi dan bahan kitar semula.


KONTEMPORARI

5. Moden abad pertengahan

Dibina hasil cetusan idea baru dan gaya pemikiran ke depan, seni bina moden abad pertengahan berkembang dari 1945 hingga 1980-an. Bercirikan panel rata, tingkap kaca besar dan ruang terbuka, gayanya memberi tumpuan kepada reka bentuk yang ringkas serta integrasi alam semula jadi. Perang Dunia Ke-2 memperlihatkan penggunaan bahan-bahan baru seperti keluli dan papan lapis yang kemudiannya menjadi asas seni bina serta reka bentuk baru kediaman.


MODEN abad pertengahan

6. Prairie

Gaya Prairie dibina berdasarkan idea bahawa rumah perlu memenuhi semua keperluan praktikal tanpa terlalu banyak dekorasi. Ia dipengaruhi pergerakan seni dan kraf serta mempunyai banyak konsep yang sama seperti perabot binaan dalam, material ringkas selain pelan lantai terbuka. Seni bina Prairie juga mempunyai bumbung rata yang panjang, barisan tingkap, garis mendatar dan corak organik.


PRAIRIE

7. Townhouse

Banyak terdapat di kawasan bandar dan menjadi popular pada awal abad ke-19. Rumah dengan gaya ini lebih banyak dibina di atas tanah yang kecil dan lazimnya dibina secara teres dua tingkat, mempunyai lorong sisi dan halaman minimum.


TOWNHOUSE

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2018 @ 12:03 AM