KEWUJUDAN riang di Creative Industries Precinct Phase 2 itu antara usaha menarik perhatian pelajar industri kreatif ke persekitaran menarik untuk merangsang pembelajaran dan interaksi sosial.
Susunan Hartini Mohd Nawi
hartini@hmetro.com.my


Richard Kirk Architect dan Hassell dilantik sebagai arkitek bagi pembangunan Creative Industries Precinct Phase 2, Queensland University of Technology (QUT), Brisbane, Australia.

Sekali gus membuktikan gandingan dan semangat berpasukan dalam mereka bentuk bangunan serta ruang secara bersepadu.

Projek ini dilihat antara peluang memanfaatkan aktiviti manusia dalam suasana lapang dan selesa.

Malah pelan induknya juga dikatakan mampu memberi tindak balas terhadap perubahan keperluan landskap dalaman atau luaran.

Selain matlamatnya dalam usaha memberi peluang kepada aspek pendidikan, warisan iaitu sejauh mana kesan penggunaan tapak pembinaannya terhadap sejarah QUT itu sendiri serta interaksi dengan alam.


RICHARD Kirk Architect dan Hassell dilantik sebagai arkitek bagi pembangunan Creative Industries Precinct Phase 2.

Creative Industries Precinct Phase 2 itu juga direka khas dalam menghubungkan peranannya untuk Creative Industries Faculty yang terdiri daripada tarian, drama, muzik dan seni visual selain membabitkan penyelidikan serta ilmu teknikal.

Pada masa sama ia turut melengkapkan Creative Industries Precinct peringkat 1 yang sedia sebagai identiti dan antara lokasi utama bagi pelajar serta kakitangan berkaitan Sarjana Muda Industri Kreatif.

Di samping itu, kewujudan Creative Industries Precinct Phase 2 juga antara usaha menarik perhatian pelajar industri kreatif ke persekitaran menarik untuk merangsang pembelajaran dan interaksi sosial.

Bermakna perancangan ruang turut menyenaraikan keunikan pada ruang kerja terbuka untuk kakitangan akademik, penyelidikan dan pentadbiran, bilik mesyuarat dan ruang kerja tidak formal.


MEMANFAATKAN aktiviti manusia dalam suasana lapang dan selesa.

Malah tumpuan turut diberikan kepada bahagian utama keluar masuk, tempat pertemuan, kafe dan kawasan umum termasuk tepi bangunan yang turut menghubungkan dua lagi bangunan lain.

Menariknya dua bangunan itu turut menghubungkan pelajar ke ruang studio.

Laluan itu turut menjadi lokasi pelajar berkumpul sebelum sesi pembelajaran di studio bermula.

Di situlah mereka saling memberi semangat atau melakukan latihan ringkas.

Lebih tepat, studio seni visual itu membuktikan elemen penyatuan utama Richard Kirk Architect dan Hassell.

Ia menerusi penyediaan satu ruang fleksibel untuk kegunaan bersama pelajar dari tahun yang berbeza.

Selain turut reka letak galeri pameran dan bengkel lengkap di dalam struktur sedia ada yang bersebelahan.

Tidak terkecuali, Richard Kirk Architect dan Hassell turut menzahirkan idea pencahayaan serta pengaliran udara sempurna untuk setiap ruang.


SETIAP ruang direka bentuk menarik dan turut menghubungkan dua bangunan.

Perlindungan dari haba dan silau matahari pagi antara keunikan dalam perancangan pembinaan Creative Industries Precinct Phase 2 itu.

Begitu juga dengan penataan landskap yang boleh ditinjau dari dalam bangunan.

Secara jelas, bangunan itu merangkumi komitmen QUT terhadap sokongan strategik dalam bidang industri kreatif.

Tambahan pula, ia menggabungkan dan mempamerkan kemajuan penting untuk institusi serta organisasi.

Selain itu, ia memperkayakan sokongan untuk pelajar dalam kerjaya teknologi digital yang canggih.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2017 @ 2:56 PM