RAK menarik daripada kayu dan saluran paip terpakai.
Faizal Zain

Salam deko buat semua. Sejak awal September lalu, ruang Inspirasi Deko ini membicarakan berkenaan sentuhan rekaan dalaman berkonsepkan industri. Jadi minggu ini adalah minggu terakhir bagi saya menulis berkenaan tajuk sama bagi melengkapkan keseluruhan penerangan ‘panjang lebar’ konsep industri ini. Seperti yang sudah saya jelaskan maksud konsep industri adalah satu sentuhan menggunakan warna monokromatik dan menjelmakan sisi maskulin dan ‘keras.’

Ia berdasarkan penggunaan berasaskan material termasuk logam, kayu dan bata yang sengaja diekspos untuk menunjukkan karakternya. Material yang digunakan juga adakalanya daripada bahan terpakai atau bahan industri termasuk kaca, besi, aluminium, paip dan getah. Ia diolah sedemikian rupa hingga boleh dijadikan elemen hiasan dalaman yang menarik. Konsep ini juga harus disokong beberapa elemen lain antaranya suai padan aksesori.

TEMPAT menggantung majalah berasaskan saluran paip terpakai.

Menerusi sedikit kreativiti, anda boleh mendapatkan pelbagai hiasan dan aksesori untuk ‘mempercantikan’ lagi sentuhan industri pada ruang kediaman anda. Pelbagai idea yang boleh diterapkan untuk menjadi aksesori tambahan seperti penggunaan tali guni, produk terpakai termasuk kayu palet, besi dan roda dan paip plastik. Selain itu, kemasan perabot juga cenderung tanpa kemasan dan lebih menunjukkan warna aslinya.

Perabot daripada material kayu biasanya tidak dicat. Perabot daripada besi, alumunium dan kaca juga tidak dicat sama sekali, tapi dibiarkan dalam karakter asal. Secara tidak langsung menampilkan nuansa yang berkaitan dengan dunia industri. Rekaan ini biasanya digunakan penghuni kediaman yang menginginkan suasana dengan tampilan ‘rough’ dan maskulin. Lampu dan pencahayaan pula biasanya masih berkonsepkan industri. Lampu gantung yang dicat dengan warna porselin atau yang menggunakan penutup alumunium menampakkan ciri khas industri.

LAMPU unik mewarnai konsep ini.

Ornamen atau pola pada dekorasi berkonsepkan industri pula tidak jauh berbeza dengan yang diterapkan pada rekaan moden dan minimalis iaitu garis-garis tegas serta tegak. Pola ini membuatkan konsep industri kelihatan moden walaupun sering menggunakan material yang natural dan bahan kitar semula. Jadi anda yang inginkan kelainan, dengan lengkapnya empat siri Inspirasi Deko yang berkisar konsep industri ini serba sedikit dapat membantu dalam menghasilkan sentuhan berbeza.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2017 @ 8:13 AM