HALIMATUN SAADIAH bersama suami sanggup mengembara ke merata tempat untuk melengkapkan koleksi pinggan mangkuk antiknya itu.
KOLEKSI pinggan mangkuk antik menjadi pelengkap dekorasi di ruang tamu kediaman ini.
PELBAGAI jenis teko disimpan termasuk teko aladin, teko bulat, teko telur dan teko siku.
REKAAN klasik dan seni pada koleksi malar segar ini.
Ainal Marhaton Abd Ghani
rencana@hmetro.com.my


Saat menjengah masuk ke ruang tamu kediaman seorang teman, mata penulis terarah ke bahagian tepi dinding ruang itu yang menempatkan beberapa almari hiasan berwarna putih gaya Inggeris yang kemas tersusun dengan koleksi lengkap pinggan mangkuk lama.

Ia secara tidak langsung ‘membuai’ memori silam zaman kanak-kanak penulis ketika menikmati hidangan bersama keluarga tercinta.

Keasyikan melihat koleksi mempunyai pelbagai corak dan rekaan sedikit klasik menyebabkan pemiliknya, Halimatun Saadiah Abu Bakar, 38, tanpa segan silu mempelawa penulis meninjau pula bahagian dapur kediamannya yang juga menjadi sebahagian daripada tempat ‘simpanan’ koleksinya itu.

Enggan membiarkan penulis tertanya-tanya bagaimana kediamannya dipenuhi koleksi barangan dan almari hiasan lama, Halimatun Saadiah tidak lokek berkongsi kisah bagaimana minatnya bermula.

Katanya, semuanya bermula kira-kira 10 tahun lalu apabila secara tidak sengaja melayari satu akaun di laman sosial Facebook berkaitan pinggan mangkuk lama.

“Saya teruja melihat pelbagai corak dan reka bentuk pada koleksi pinggan, mangkuk, cawan dan teko dipaparkan kerana corak bunga dan warnanya tampak begitu klasik.

“Dari situ timbul minat untuk mendapatkan koleksi berdasarkan corak bunga yang ada ketika itu walaupun terpaksa membayar dengan harga tinggi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Balok Jaya 2, Balok, Kuantan, baru-baru ini.

Halimatun Saadiah berkata, walaupun koleksinya dianggap antik dan lebih sesuai dijadikan perhiasan, dia tetap menggunakannya dalam kehidupan seharian.

“Bukan setakat kegunaan harian, koleksi ini juga mendapat tempat di majlis perkahwinan apabila ada rakan menyewanya untuk digunakan sebagai pinggan makan pengantin.

“Lucunya, mereka meminta saya sendiri yang menyusun dan menghidangkan untuk pengantin kerana bimbang akan pecah dan sukar digantikan,” katanya.

Katanya, setiap koleksi mengambil masa antara empat hingga enam tahun untuk menjadi set lengkap kerana ia dibeli secara berasingan dan dari tempat berbeza.

“Sebab itu kena ‘join’ banyak kumpulan barangan lama di Facebook mahupun Instagram dan perlu rajin menapak ke kedai barangan terpakai.

“Terkadang ada cawan tanpa piring, ada pinggan nasi tapi tiada mangkuk lauk, namun saya tetap gigih mencarinya dan kebiasaannya pencarian pasti berjaya walaupun mengambil masa lama,” katanya yang sudah berbelanja hampir RM10,000 untuk mengumpul koleksi pinggan mangkuknya itu.

Halimatun Saadiah bersama suami, Mohd Safri Ali, 42, turut ke beberapa negeri lain sama ada untuk melengkapkan koleksi atau mencari yang baru.

“Selain sekitar bandar Kuantan, jika ada kelapangan atau cuti sekolah, saya akan ke Melaka, Perak dan Johor yang pasar lambak atau kedai barangan terpakainya menjual pada harga lebih rendah,” katanya.

“Rambang mata dibuatnya dan kebiasaannya saya mengambil masa lama hanya untuk membelek, melihat corak dan bunga sebelum hati berkenan selain mencari padanan koleksi di rumah yang belum lengkap,” katanya.

Menurutnya, jika pulang ke kampung pula, dia tidak malu bertanya kepada saudara-mara atau jiran jika ada dalam kalangan mereka yang ada pinggan mangkuk lama, tetapi tidak berminat untuk hiasan.

“Pinggan mangkuk, piring, teko, cawan dan gelas yang ada pada zaman dulu sangat berseni dan klasik membuatkan coraknya malar segar,” katanya.

Antara corak pinggan mangkuk termasuk teko dan cawan dalam koleksinya adalah bunga kekwa hitam, bunga kangkung, bunga mawar merah dan hijau, bunga lalang, bunga loceng, bunga padi dan bunga terung.

Begitu juga himpunan teko dimiliki jelas tampak nostalgiknya dengan rekaan diberi nama teko aladin, teko bulat, teko telur dan teko siku yang dibeli pada harga antara RM150 sehingga RM250 sebiji.

Halimatun Saadiah juga meminati perabot lama dan sanggup menjual almari lebih moden dan cantik semata-mata untuk membeli almari kayu lama yang lebih klasik untuk disuai padan dengan koleksi pinggan mangkuk lamanya itu.

“Hampir keseluruhan perabot dan hiasan ini dibeli di kedai barangan terpakai pada harga murah. Apa yang penting tahu membuat susun atur supaya kena dengan tema ditampilkan,” katanya berasal dari FELDA Jengka 14, Maran, Pahang.

Biarpun almari dan kabinet sudah sendat dipenuhi pinggan mangkuk lama, kerana minat ibu kepada Muhammad Zarif,10, dan Muhammad Zafri,16, masih lagi meneruskan hobi mencari koleksi jarang diperoleh tetapi tidak seaktif sebelumnya.

“Empat almari sedia ada ini pun sudah tidak dapat menampung koleksi yang ada dan ruang kosong dalam rumah hampir tiada kerana dipenuhi almari hiasan. Sebelum ini tiga daripadanya sudah ‘berhijrah’ ke rumah ibu di Alor Setar, Kedah, kerana tiada tempat untuk diletakkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2017 @ 2:29 AM