KEMAHIRAN visual dapat membantu mencapai tujuan dikehendaki dengan lebih berkesan.
REKAAN taman yang separuh berbumbung dan terbuka.
SEBUAH taman praktikal cuba digambarkan dengan kemahiran 'freehand visualization.'
SUDUT taman dilengkapi landskap kolam air berpancuran.
Hartini Mohd Nawi
hartini@hmetro.com.my


Impian memiliki taman dan rekaan dalaman menarik sering kali mendorong pemilik kediaman yang mempunyai bajet tertentu melantik pereka profesional.

Pertemuan dan perbincangan antara pemilik kediaman atau pejabat dengan pereka lebih lengkap dan bermakna apabila pakar profesional itu mempunyai kemahiran melukis ‘visual’ ruang sempurna.

Apatah lagi melukis antara aktiviti komunikasi dan proses berfikir secara visual yang praktikal.

Urusan juga lebih mudah apabila segalanya digambarkan di depan mata.

Hanya melalui lukisan, sudah dapat memberikan gambaran lebih jelas pada ruang tertentu sama ada reka bentuk taman atau rekaan dalaman.

Ia juga dilihat antara medium penting dalam menterjemahkan idea pereka untuk digabungkan dengan cita rasa pemilik kediaman.

Malah ia turut menjadi komunikasi visual pereka yang lebih tepat penyampaiannya sementara pemilik kediaman pula berpeluang melihat sejauh mana rekaan diinginkan sesuai.

Pada masa sama, lukisan juga begitu sinonim dengan kemahiran ‘freehand visualization.’

Pengalaman menemu bual pakar ‘freehand visualization’ ini menyingkap 1,001 persoalan menarik berkenaan dunia lakaran membentuk lukisan yang menjadi medium penting dunia landskap dan rekaan dalaman.

Sambil memperincikan keunikan kemahiran ‘freehand visualization’ itu, tangan Dr Ruzaimi Mat Rani pantas melakar secara terbalik rekaan dekorasi ruang tamu sebuah kediaman.

“Secara jelas kemahiran ini berupaya memberikan gambaran secara pantas dan mudah difahami.

“Kemahiran visual dapat membantu mencapai tujuan dikehendaki dengan lebih berkesan.

“Kemudiannya ditambah dengan idea baru diinginkan pemilik kediaman selepas meneliti kesesuaiannya,” katanya.

Apabila lukisan itu siap, pereka memainkan peranan untuk menghuraikan secara terperinci kesesuaian setiap reka letak perabot atau aksesori hiasan.

Jika pemilik kediaman kurang bersetuju dengan lukisan itu, perbincangan lebih bermanfaat apabila semuanya menggunakan medium di atas sehelai kertas.

“Lebih menarik, menerusi perbincangan menggunakan lukisan itu, pereka yang peka tentunya sudah dapat ‘menangkap’ cita rasa pemilik kediaman,” katanya.

Beliau yang kini turut bergelar pensyarah sambilan Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu mengakui sesiapa saja mampu menghasilkan lukisan menerusi kemahiran berkenaan asalkan kena dengan tekniknya.

Paling penting lukisan itu spontan, ringkas dan tidak mengambil masa lama untuk disiapkan.

Luahan idea menerusi lukisan pada sehelai kertas mampu menggambarkan ruang atau taman tertentu menggunakan medium seperti pensel atau pen.

“Pernahkah anda mengalami kesukaran untuk menzahirkan sesuatu idea bernas tetap tidak berjaya untuk diterangkan kepada seseorang atau pemilik kediaman?

“Dalam situasi ini kemahiran ‘freehand visualization’ antara penyelesaian utama untuk menerangkan idea itu,” katanya.

Malah beliau juga tidak menafikan lukisan itu yang menjadi salah satu cabang lukisan.

“Secara tidak langsung ia dapat membantu setiap daripada kita berkomunikasi secara visual dengan lebih cepat, mudah dan berkesan.

“Kesan daripada itu, ia bakal mewujudkan satu komuniti atau masyarakat yang lebih berdaya saing dan mampu menyumbang kepada kemakmuran sesebuah negara ,” katanya yang turut mengasaskan drawzania.com di bawah naungan syarikatnya, Clubee Sdn Bhd.

Dari drawzania.com, nama tidak asing dalam kalangan pelajar dan peminat lakaran sama ada di alam maya atau sebaliknya.

Sebarang maklumat layari www.drawzania.com untuk sebarang keterangan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2017 @ 1:34 AM