SOFA yang sudah siap dipotong dan dikimpal akan dibersihkan terlebih dahulu sebelum melalui proses mengecat.
SOFA bukan saja sesuai diletak dalam rumah tapi boleh melengkapkan ruang landskap di luar rumah.
SHAHIDAN turut menghasilkan kabinet pelbagai guna yang menawarkan ruang penyimpanan yang besar.
SOFA dicat menggunakan ‘powder coating’ supaya tahan dalam dan tahan karat.
KEMASAN akhir seperti warna cat, pelekar dan material tempat duduk boleh dipilih mengikut cita rasa pelanggan.
SHAHIDAN
Nor Hanisah Kamaruzaman
rencana@hmetro.com.my

Apabila kreativiti bertemu bakat maka terhasillah kerja tangan penuh inovatif. Siapa sangka tong dram terpakai yang biasanya terbiar di tapak pelupusan sampah mampu bertukar menjadi perabot dan kelengkapan rumah istimewa.

Biarpun tumpuan utama bengkel Green Garage adalah fabrikasi logam seperti penghasilan pagar, jeriji dan sengkuap (awning) kediaman, ia tidak menjadi halangan untuk pemiliknya berinovasi mengeluarkan produk unik.

Malah, produk pertama iaitu sofa dram juga dibuat hasil kecekalan dan kesungguhan pemilik Green Garage, Shahidan Yahya, 44, yang ingin terus bertahan dalam bidang itu.

Menurut Shahidan, sofa dram mula dihasilkan pada awal tahun ini. Beliau banyak melihat perkembangan dan rujukan dari pelbagai sumber dalam serta luar negara.

Sebaik sofa pertama yang dihasilkan menjadi tempat duduk di bengkelnya beliau mula mendapat tempahan dari rakan serta sesiapa saja yang datang.

Menariknya, sofa yang dihasilkan Shahidan mempunyai ruang penyimpanan tersembunyi.

Dalam seminggu beliau mampu menyiapkan lima sofa dengan bantuan dua pekerja.

Penghasilan sofa bermula dengan mendapatkan tong dram terpakai sebelum dibawa ke bengkel untuk proses seterusnya.

“Pertama, tong dram ini melalui proses pembersihan sebelum dipotong dan dikimpal mengikut ukuran serta kesesuaian.

“Selepas siap rekaan yang diingini, ia dibasuh sekali lagi sebelum dihantar untuk dicat. Saya memilih ‘powder coating’ bagi memastikan ia tahan lama, tahan karat dan memberi kesan akhir yang kemas.

“Selepas siap dicat, ia dicuci sekali lagi sebelum dipasang kemasan dan hiasan akhir seperti pelekat serta kusyen,” katanya.

Malah kemasan seperti pelekat dan kusyen boleh ditukar mengikut pilihan dan cita rasa anda.

“Jika kerusi ingin diletak pada bahagian luar rumah maka ia boleh ditukar dengan kayu.

“Bagaimanapun saya pernah mendapat permintaan kayu berkualiti tinggi seperti meranti dan balau,” katanya.

Lebih membanggakan Green Garage turut mengeluarkan beberapa kelengkapan daripada bahan yang sama seperti meja kopi, dapur barbeku dan kabinet pelbagai guna.

Perancangan untuk mengeluarkan meja belajar, singki, dan kabinet dapur dalam masa terdekat turut dilakukan.

“Selain saiz biasa, saiz mini turut diketengahkan kerana tong dram terpakai mempunyai dua saiz berbeza.

“Terdapat juga permintaan berbeza seperti sofa dengan kesan rustik dan kesan kemek.

“Kesan rustik itu saya hasilkan selepas produk siap dan bukannya ambil tong dram yang buruk atau lama.

“Ada juga yang membuat pesanan sofa dengan kesan kemek jadi, saya perlu kreatif untuk hasilkan kerja berseni seperti itu supaya ia nampak seperti natural,” katanya.

Kunjungi Green Garage di di No 22, Jalan TIAJ 1/2, Taman Industri Alam Jaya, Bandar Puncak Alam, Selangor atau layari Facebook Eusof TK atau e-mel kepada tkgreengarage@gmail.com.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2017 @ 8:20 AM