POKOK duit-duit.
POKOK keladi dieffenbachia.
Faizal Zain

Salam deko. Memilik kediaman dengan taman menarik tentunya menjadi impian setiap dari kita. Tidak kira kediaman dari jenis atas tanah atau pangsapuri. Jika kediaman bertanah pastinya laman rumah menjadi tempat untuk dihiasi dengan landskap tumbuh-tumbuhan menghijau. Begitu juga dengan kediaman bertingkat, kebanyakkannya menjadikan ruang balkoni sebagai taman mini. Dalam menzahirkan keunikan itu ramai dalam kalangan kita berkunjung ke nurseri tanaman atau lot perniagaan yang menawarkan pelbagai jenis tumbuhan hidup sebagai koleksi hiasan paling menarik.

Kebanyakan sekadar memilih tanaman yang menarik,menepati cita rasa rekaan landskap diimpikan dan mudah dijaga selain mempunyai jangka hayat hidup yang lama. Namun di sebalik keghairahan kita membeli pelbagai tanaman itu, berapa ramai pula yang melihat pada sisi lain iaitu sejauh manakah iq selamat untuk menghiasi ruang halaman atau balkoni kediaman anda? Harus dinilaikan juga, adakah tumbuhan itu menghasilkan batang yang panjang,menghasilkan duri, mengeluarkan bau kurang enak dan beracun?

Jadi untuk beberapa minggu berikutnya saya akan berkongsi berkenaan beberapa tanaman menarik untuk dijadikan hiasan, tapi sebenarnya mempunyai racun yang boleh memudaratkan anda dan keluarga. Berikut beberapa tanaman hiasan yang seelok-eloknya dielakkan untuk dijadikan tanaman hiasan dalam rumah. Antaranya:

Pokok duit-duit

Tanaman tropika ini berasal dari Afrika dan dikatakan boleh menyebabkan gatal pada bahagian tubuh terutama kulit sensitif.

Dikatakan juga, tanaman ini mempunyai racun pada bahagian tertentu.

Kebiasannya pokok duit-duit dijadikan hiasan meja sudut luar atau dalam rumah.

Ini kerana daunnya yang tebal dan berkilat menghasilkan sudut pandangan menarik.

Namun harus berwaspada kerana tumbuhan ini antara pokok hiasan beracun yang boleh membahayakan kesihatan.

Pokok keladi dieffenbachia

Tanaman hiasan ini sering kelihatan menghiasi taman dan bahagian dalam rumah.

Jika diteliti dengan mikroskop, ia mempunyai hablur kristal halus berbentuk jarum dari ‘kalsium oksalate.’

Apabila daun ini mungkin dimakan tanpa sengaja oleh anak, ia boleh menyebabkan rasa ‘mencucuk’ lidah, mulut membengkak dan air liur meleleh.

Jika dalam keadaan teruk, mulut jadi kaku dan memudaratkan.

Tumbuhan ini haruslah dijauhi dan dielakkan terutama bagi yang mempunyai anak kecil.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2017 @ 8:15 AM