HAIROL Ariffein
OSAKA (JEPUN): Perbadanan Pembangunan Industri Halal Malaysia (HDC) menjalin kerjasama pertamanya dengan Persatuan Halal Jepun (JHA) bagi meneroka ruang pasaran halal yang lebih luas di Jepun.

Ketua Pegawai Eksekutif HDC Hairol Ariffein Sahari berkata, menerusi kerjasama itu kedua-dua pihak bekerjasama mengadakan aktiviti pertukaran maklumat mengenai amalan halal terbaik di Jepun menerusi Program Pembangunan Pakar Industri Halal HDC.

“Tumpuan bagi memudahkan perniagaan di Jepun terutamanya industri berasaskan farmaseutikal, logistik dan daging kepada pasaran halal,” katanya di luar lawatan perniagaan empat hari ke Jepun.

Beliau berkata, program itu antara langkah meningkatkan peluang perniagaan kepada penggiat industri halal di kedua-dua negara agar memberi manfaat ketara khususnya dalam bidang pelaburan, perdagangan, peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan pemindahan teknologi.

Menurut Pengerusi JHA, Hind Hitomi Remon, persatuan itu kerap menerima permohonan pensijilan halal terutamanya daripada pengendali restoran atau pengeluar bahan mentah untuk tujuan eksport.

“Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, permintaan ke atas pensijilan halal yang spesifik dalam farmaseutikal, logistik dan penyembelihan semakin meningkat di Jepun,” katanya.

Remon berkata, aktiviti pertukaran pengetahuan itu, antara lain turut bertujuan membetulkan tanggapan salah dalam kalangan perniagaan di Jepun bahawa halal mempunyai kaitan dengan pengganas atau pensijilan halal akan menjamin peningkatan jualan.

“Program ini juga akan membantu menyampaikan mesej tepat kepada mereka mengenai penggunaan nilai halal yang betul dalam perniagaan, selain tanggapan salah mengenai Islam yang banyak dikaitkan dengan keganasan,” katanya.

Remon mengakui bahawa kesedaran mengenai halal masih di peringkat awal di Jepun dengan populasi Muslim di negara berkenaan adalah kira-kira 150,000 berbanding 124 juta penduduk di seluruh negara itu.

“Namun, kami positif kerjasama dengan HDC tahun hadapan membantu meningkatkan industri halal secara keseluruhan di kedua-dua negara kelak,” katanya.

JHA adalah satu daripada badan pensijilan halal yang diiktiraf di dunia khususnya di Singapura, Indonesia dan negara-negara Timur Tengah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Disember 2019 @ 7:18 AM