DR Nungsari Ahmad Radhi
Bisnes HM
bisnes@hmetro.com.my


KAKITANGAN Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) tidak perlu risau mengenai nasib mereka selepas Kabinet memutuskan untuk menggabungkan suruhanjaya berkenaan dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Ini kerana, semua perkara berkaitan kebajikan kakitangan termasuk struktur, fungsi, bidang kuasa, implikasi perjawatan, kewangan dan perundangan akan diteliti pihak Kementerian Pengangkutan.

Malah, mereka boleh melaksanakan tugas seperti biasa sekurang-kurangnya bagi tempoh enam bulan lagi kerana banyak perkara perlu diteliti sebelum sebarang pindaan akta berkaitan MAVCOM dapat dibentangkan di Kabinet.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya juga terkilan dengan kenyataan Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Dr Nungsari Ahmad Radhi yang kecewa dengan keputusan dibuat kerajaan.

“Saya tidak faham mengapa beliau (Nungsari) terkejut dengan keputusan ini sedangkan beliau tahu kerajaan mempunyai kuasa untuk membuat sebarang perubahan.

“Maka, sebarang sesi perbincangan dengan pihak MAVCOM atau CAAM tidak perlu dilakukan untuk mencapai keputusan ini,” katanya selepas merasmikan hab kargo udara Ground Team Red (GTR), di Sepang, hari ini.

Menurutnya, langkah ini diambil bagi merasionalisasi badan pengawalseliaan penerbangan awam di bawah satu entiti.

“Ini bukan saja dapat mengoptimumkan sumber manusia dan kewangan sedia ada, malah ia dapat meningkatkan kecekapan tadbir urus serta kualiti penyampaian perkhidmatan.

“Kita ambil contoh Singapura yang hanya mempunyai satu saja badan pengawalselia dan segala urusan dapat dilakukan lebih mudah,” katanya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di Putrajaya hari ini, Kementerian Pengangkutan berkata, Jemaah Menteri pada 1 Disember 2019 telah bersetuju supaya badan kawal selia industri penerbangan Malaysia dirasionalisasi dan diletakkan di bawah satu entiti.

Ia membawa maksud, MAVCOM akan dibubarkan dan fungsi-fungsi utama MAVCOM akan dipindahkan kepada CAAM.

Menurut kenyataan itu, inisiatif itu dapat mendorong perkembangan industri penerbangan awam supaya lebih kompetitif dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

“Kerajaan komited dalam memastikan pembangunan sektor penerbangan awam yang moden, mampan, selamat dan efisien selaras dengan Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030.

“Rasionalisasi ini akan membabitkan beberapa perubahan dari segi perundangan antara lain, pemansuhan Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771] serta pindaan terhadap Akta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia 2017 [Akta 788]. Pemansuhan Akta 771 akan membolehkan fungsi-fungsi MAVCOM kelak dipindahkan kepada CAAM,” katanya.

Menurutnya, Kementerian Pengangkutan akan menstrukturkan organisasi CAAM baharu yang bersesuaian untuk memastikan proses rasionalisasi ini dilaksanakan dengan lancar dengan mengambil kira beban tugas baru yang akan diambil alih oleh CAAM.

“Kementerian akan mengadakan perbincangan terperinci dengan Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Jabatan Peguam Negara mengenai struktur, fungsi, bidang kuasa, implikasi perjawatan, kewangan dan perundangan,” katanya.

Berita berkaitan

MAVCOM kecewa, rasa terhina

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Disember 2019 @ 7:01 PM